Cadangan panggil Hadi dalam muzakarah tertutup

Sesi muzakarah tertutup dicadangkan sebagai salah satu cara untuk menyelesaikan isu Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan lebih 30 tahun dulu dan didakwa menjadi punca perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Cadangan berkenaan diutarakan oleh salah seorang penonton di studio ketika siaran langsung program bual bicara RTM, Bicara Rakyat menerusi TV1 pada pukul 9 malam tadi.

"Saya mencadangkan supaya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin PAS dipanggil bersama beberapa tokoh yang tidak berkepentingan politik seperti mufti dan ahli akademik.

"Kesan Amanat Haji Hadi masih berlaku sehingga hari ini. Kafir-mengkafir masih wujud. Melalui muzakarah, kita bukan berpolitik tetapi membincangkan masalah ummah," kata penonton tersebut sebelum program berkenaan berakhir.

Program bual bicara berkenaan dikendalikan oleh pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mustar dan disertai oleh dua orang ahli panel iaitu Presiden Jati Datuk Dr Hassan Ali dan bekas aktivis PAS, Taharuddin Yaakob.

Kedua-dua ahli panel berkenaan sependapat bahawa para pemimpin PAS tidak boleh lepas tangan atau cuci tangan berhubung isu Amanat Haji Hadi.

Sebelum ini media melaporkan bahawa amanat berkenaan menjadi punca perpecahan dalam kalangan umat Islam seperti tidak menziarahi kematian ahli keluarga yang menganggotai UMNO dan menimbulkan isu solat dengan dua imam.

Sementara itu Hassan ketika ditemui pemberita selepas siaran langsung program bual bicara berkenaan membidas sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikeluarkan hari ini, yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Hassan berkata pendirian Mat Sabu itu ternyata berbeza dengan Majlis Syura Ulama PAS yang sebelum ini tegas melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

PAS yang kini mempunyai tiga kumpulan di dalam parti iaitu 'Anwarinas', 'Parasit' dan 'Ulama' akan menghadapi pertelingkahan besar kerana perbezaan pendapat, tambah beliau.

"Jelas kepada kita bahawa pengaruh Anwarinas atau Parasit begitu hebat. Apa sahaja permintaan DAP dan PKR seperti kalimah Allah diraikan sedemikian rupa.

"Sementara Presiden PAS yang setiap hari diasak untuk menarik balik amanatnya pada tahun 1981 itu dibiarkan keseorangan," kata Hassan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.