Bayar premium sejak '08 tapi tak dapat geran

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mempersoal tindakan kerajaan negeri Selangor yang masih tidak memberikan geran tanah kepada 193 penduduk Kampung Seri Tiram Jaya di Tanjong Karang.

Sedangkan, katanya penduduk telah mendapat kelulusan permohonan tanah pertanian seluas 80.9 hektar ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Penduduk yang terlibat telah memohon untuk mendapatkan geran tanah pada 2004. Malangnya sehingga hari ini, tiada sebarang geran yang diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika melawat kampung itu semalam.

Noh berkata penduduk membayar premium tanah sejak 2008 tetapi sehingga kini kerajaan negeri enggan memberikan geran kepada mereka.

"Apakah kerana tanah tersebut diluluskan permohonannya ketika pentadbiran BN sebelum ini atau pun pentadbiran negeri di bawah pakatan pembangkang gagal melaksanakan tadbir urus yang baik kepada rakyat," katanya.

Salah seorang pemilik tanah Mohd Tahrir Mustar, 59, melahirkan rasa kesal kerana kerajaan negeri sekarang tidak berusaha menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata beliau telah membayar premium tanah sebanyak RM356 bagi setiap 0.4 hektar kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor.

"Kami cuma penduduk kampung dan pendapatan kami bukan tinggi. Kami harap kerajaan negeri memahami masalah yang kami hadapi dan atasinya dengan segera kerana perkara ini sudah lama berlanjutan," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.