'Hanya kerana keangkuhan...'

Selangor dukacita dengan tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang meminta bantuan daripada syarikat bekalan air daripada luar bagi tujuan pembekalan ke kawasan terjejas sebelum ini.

Sedangkan, menurut exconya Dr Xavier Jayakumar, kerajaan negeri dalam pelan bantuannya mengarahkan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lori tangki masing-masing.

"Apa yang SYABAS perlu lakukan ialah menghubungi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Khusrin Munawi untuk mendapatkan bantuan, tetapi disebabkan keangkuhan SYABAS itu tidak berlaku," katanya.

Bernama kelmarin melaporkan, SYABAS menggerakkan 40 lori tangki air dan menyediakan 174 tangki air statik ke kawasan terjejas akibat kerosakan di dua rumah pam, yang menjadi punca krisis air di ibu negara sebelum ini.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred dilaporkan berkata, sejak 2 Januari, SYABAS turut mendapat bantuan daripada Lembaga Air Perak (empat lori tangki), Syarikat Air Melaka Berhad (dua lori), Syarikat Air Johor (lapan lori) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (dua lori).

Langat 2: Jepun tak terlibat

Sementara itu, dalam kenyataannya semalam, Dr Xavier juga menolak kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar bahawa projek pembinaan loji takungan air Langat 2 itu disokong oleh kerajaan Jepun.

Menurut Dr Xavier, berdasarkan rekod, pihak Jepun hanya terlibat memberi pinjaman dana sebanyak RM2.4 bilion melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) untuk kerja-kerja pembinaan terowong bagi penyaluran air dari Pahang.

Ini kerana hanya syarikat negara itu Shimizu-Nishimatsu yang mempunyai kepakaran dalam kerja mengerudi terowong 44km di bawah banjaran Titiwangsa, tambanya.

"Sebaliknya pihak Jepun tidak terlibat langsung dalam sebarang kerja-kerja pembinaan Loji Langat 2 itu sendiri.

"Adalah tidak wajar bagi Noh Omar mengatakan bahawa pihak Jepun menyokong pembinaan Loji Langat 2 itu," kata Dr Xavier.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.