Tim menteri: Universiti patut bantu Aziz Bari

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, universiti sepatutnya menjaga dan membela kebajikan pegawainya termasuk bertanggungjawab memberi khidmat guaman kepada pensyarah sekiranya didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, tanggungjawab sesebuah institusi pengajian tinggi terhadap pegawainya adalah sama seperti ketika mereka dimasukkan ke hospital kerana ia telah menjadi tanggungjawab universiti itu.

"Kalau boleh saya respon tentang beberapa perkara yang ditimbulkan tadi (di dalam forum), kalau ada satu perkataan mewakili perasaan saya,  jawapan saya ialah soal roh universiti itu sebenarnya sudah seperti tiada lagi.

"Seperti dalam kes (Prof Dr) Abdul Aziz Bari, saya rasa itu tidak wajar. Sebab pada pandangan saya tanggungjawab universiti ialah antara lain membela kebajikan pegawai sama ada pekerja pentadbir atau pensyarah," katanya.

Tambahnnya, juga niversiti patut bertanggungjawab memberi bantuan guaman kepada pesyarah yang didakwa di mahkamah.

"Kalau salah, bantu dia untuk membuat rayuan. Kalau bersalah juga, habislah tugas universiti. (Universiti) perlu ada tanggungjawab moral. Itu pegawai kamu.

"Kalau boleh melihat sesuatu perkara itu dengan lebih jelas, dan lebih murni saya fikir diskusi baru akan datang disuburkan dengan cara yang lebih baik lagi," katanya dalam forum PRU13: Agenda Mahasiswa malam tadi di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Turut hadir sebagai ahli panel forum ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang dan bekas aktivis pelajar Ahmad Shukri Razab.

Pada 20 Oktober 2011, Abdul Aziz digantung tugasnya sebagai pensyarah undang-undang di UIA kerana didakwa memberi kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Tindakan itu berlaku berikutan reaksi Abdul Aziz yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Saifuddin juga sebelum ini menasihatkan rektor UIA untuk menarik balik penggantungan ke atas Abdul Aziz dengan mengatakan perkara itu salah dari segi moral dan intelektual.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.