Mat Sabu: SMS itu bohong

dikemaskini Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan hari ini bahawa Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwanya menyokong kalimah Allah untuk digunakan dalam dakwah Kristian kepada orang Melayu adalah satu pembohongan.

NONE"Saya tidak kata begitu. Saya tidak pernah kata apa-apa. Depa (SMS) bohong. Saya berpendirian mengikut pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 2010.

"Tidak berubah. Tidak ada pandangan baru dan itu semua tidak betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Mohamad berkata memandangkan beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang agama, maka beliau hanya mengikut pandangan orang yang lebih berilmu berhubung perkara tersebut khususnya daripada dua tokoh utama PAS itu.

"Saya tidak akan mengeluarkan pandangan baru," tegasnya lagi.

Mohamad diminta mengulas SMS yang diterima oleh kakitangan Malaysiakini yang mengaitkan laporan berita portal itu dengan dakwaan kenyataan Mohamad Sabu berhubung isu kalimah Allah.

SMS tersebut berbunyi: "Malaysiakini - Mat Sabu setuju perkataan Allah digunakan dalam Bible dan dakwah Kristian kepada Melayu".

NONESMS itu dihantar bersama dengan pautan laporan Malaysiakini mengenai pandangan seorang bishop yang mengulas pandangan Mohamad itu.

Pada Januari 2010, PAS membuat ketetapan antaranya tidak boleh melarang penganut agama samawi menggunakan perkataan Allah dan memberikan peringatan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan itu bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Kemudian Abdul Hadi dilapor menegaskan kalimah Allah tidak boleh disalahguna untuk mengelirukan umat Islam.
 
Sementara Nik Aziz pula dilapor menjelaskan bahawa tidak menjadi masalah bagi orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam perbualan tetapi tidak boleh digunakan secara rasmi dalam akhbar, majalah atau buku.

NONEBagaimanapun, tegasnya orang Kristian tidak boleh samakan Allah dengan tuhan, kerana Allah dalam Islam berbeza dengan konsep triniti Kristian sebab dalam Islam, Allah itu esa.

Mengulas lanjut, pemimpin PAS yang lebih mesra dipanggil Abang Mat itu berkata SMS yang disebarkan itu tidak ada mengena dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Merdeka.

Sebalikya, beliau berpandangan ia mempunyai hubungkait dengan pilihan raya umum ke-13 yang bakal menjelang, bagi memainkan emosi orang Melayu.

"Pilihan raya semakin hampir, jadi dimainkan emosi orang Melayu. Apabila isu pembangunan dan urustadbir (sudah) tidak boleh (dimainkan), dimainkan (pula) sentimen perkauman, Amanat Haji Hadi ditimbukan semula.

"Semua ini nak kaut undi Melayu. Habis pilihan raya, habislah isu ini... Ini untuk menarik undi Melayu. Umno dan BN bergantung kepada undi Melayu," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.