Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pengambilalihan syarikat Astacanggih oleh Boustead Holdings Berhad dan bayaran RM130 juta untuk tanah seluas 223 ekar daripada syarikat Awan Megah merupakan pelaburan "tidak masuk akal" memandangkan tanah itu milik kerajaan persekutuan.

Katanya, tanah berkenaan tidak dimiliki Awan Megah dan tertakluk pada kebenaran pindah milik dan pembangunan oleh kerajaan Selangor.

Carian tanah yang dilakukan Malaysiakini pada 27 November tahun lalu juga menunjukkan bahawa pemilik tanah berkenaan merupakan "Pesuruhjaya Tanah Persekutuan", yang merupakan tuan punya bagi kesemua tanah kerajaan persekutuan.

"Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Ketua Wanita Umno Selangor, Raja Ropiah Raja Abdullah samalah dengan memberi wang kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

"Sekiranya urusniaga antara Boustead dan Awan Megah berlaku, ia menyalahgunakan sebanyak RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar (bagi) 223 ekar tanah kepada Awan Megah - yang tidak mempunyai hak milik terhadap tanah itu," kata Rafizi.

Menurut Rafizi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan negeri menetapkan bahawa tanah itu tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan asalnya seperti yang dipohon oleh kerajaan Persekutuan.

Rafizi berkata demikian dengan merujuk satu rayuan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) pada Julai 2009 kepada kerajaan negeri untuk memindahmilik tanah berkenaan kepada Awan Megah.

"Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik kerajaan persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan," katanya.

Dalam sidang media sama, Rafizi turut membangkitkan mengenai bon tanah didakwa berjumlah RM72.5 juta dalam perjanjian penswastaan melibatkan Awan Megah sebagai jaminan untuk menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

Rafizi berkata, dokumen didakwa sebagai bon tanah berkenaan, yang sebahagiannya diedarkan kepada pemberita hari ini, merupakan jaminan Awan Megah dalam perjanjian penswastaan bagi menyiapkan projek tersebut.

"Ini bermakna kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja. Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan, pembayaran RM160 juta sudah tentu harga yang tidak masuk akal.

"Pembayaran sedemikian bagi membeli tanah yang hak milik tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewangan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara," katanya lagi.

Beliau juga percaya, pengambilalihan syarikat Astacanggih dan pembelian tanah berkenaan bertujuan untuk menutup mulut Deepak, yang sebelum ini giat menimbulkan dakwaan melibatkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini," katanya.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, esok beliau bersama NGO pro-PKR, Jingga 13 akan membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini.

Boustead pada 27 Disember tahun lalu mengumumkan anak syarikat milik penuhnya - Bakti Wira Development Sdn Bhd mengambil alih 80 peratus kepentingan dalam syarikat milik ahli perniagaan Deepak Jaikishan, Astacanggih.

Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dalam kenyataan itu berkata, pembelian 80 peratus syarikat Astacanggih dan tanah di Bukit Raja merupakan tindakan korporat Boustead yang berasaskan pertimbangan komersial.

LTAT memegang 60 peratus saham Boustead.

Maklumat di laman Jabatan Penerangan menyebut , pembinaan Puspahanas yang bernilai RM100 juta antara lainnya bertujuan sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa bagi Angkatan Tentera Malaysia.

ADS