Parti Star mahu Pakatan lebih tumpu Semenanjung

Parti Reformasi Negeri (Star) mencadangkan kepada kepada Pakatan Rakyat agar lebih menumpukan kerusi pilihan raya di Semenanjung bagi membolehkan parti tempatan Sabah berpeluang memenangi kerusi di negeri itu bagi meraih sokongan kepada mereka.

Pengerusi Star Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, mereka telah mengutarakan cadangan tersebut tetapi ia seolah-olah tidak diendahkan.

Jelasnya, Pakatan sepatutnya memfokuskan untuk memenangi 165 kerusi parlimen di Semenanjung bagi membolehkan parti di Sabah menumpukan kepada 25 kerusi lain di negeri itu.

"Kemenangan itu kemudiannya boleh kami gunakan untuk menyokong mereka. Begitu bah… Kita hanya akan rugi sekiranya bersaing sesama sendiri.

"Dengan demikian, ia akan mengurangkan persaingan dan peluang untuk menang lebih cerah," kata Jeffrey yang menambah, mereka boleh bekerjasama dan menyokong Pakatan sekiranya menang kelak.

Dalam ucapan ketika sambutan hari ulang tahun pertama parti itu di satu dewan sekolah di Kota Kinabalu pada hari Ahad lalu, Jeffrey berkata, beliau akan terus berunding dengan Pakatan sehingga saat terakhir bagi tujuan itu.

“ Tapi perkara seumpama ini tidak boleh dipersetujui begitu sahaja. Kami berharap, kami tidak akan menutup pintu pada saat-saat terakhir,” katanya.

Jeffrey berkata, ia merupakan satu permintaan yang tidak adil.

Beliau mengulas permintaan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengurangkan jumlah kerusi yang akan ditandingi.

Akhbar The Sun pada 3 Januari lalu melaporkan, Anwar meminta SAPP supaya menghentikan tuntutan untuk menandingi lebih 50 kerusi di Sabah.

Menurut Anwar, tuntutan berkenaan mematikan rundingan antara parti PAS, DAP, STAR dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) bagi kerusi di negeri itu.

Anwar berkata, perkara itu berlaku walau timbalan presiden PKR Azmin Ali bersetuju untuk mennyerahkan beberapa kerusi kepada SAPP.

Katanya lagi, SAPP memberi petanda bahawa parti itu hanya akan berunding sekiranya diberi jaminan untuk mendapatkan lebih 50 peratus daripada kerusi negeri di Sabah.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.