Polis akan keluar pas khas akhbar perhimpunan 12 Jan

Pihak polis telah menggesa wartawan yang akan membuat liputan perhimpunan Pakatan Rakyat Sabtu ini memakai pas khas yang dikeluarkan oleh pihak polis supaya mereka mudah dikenal pasti.

Langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini itu dilihat sebagai satu usaha untuk mengelak berulangnya kejadian petugas media dipukul oleh anggota polis seperti semasa perhimpunan BERSIH 3.0 tahun lepas.

Semalam, beberapa wartawan Malaysiakini menerima panggilan telefon dari kontinjen polis Kuala Lumpur meminta senarai nama wartawan yang akan membuat liputan perhimpunan tersebut.

Senarai itu dikehendaki dikemukakan selewat-lewatnya esok, termasuk butiran peribadi seperti nombor telefon dan MyKad.

Ketika dihubungi, ACP Ramli Mohamed Yoosuf, pembantu kepada ketua urusetia (perhubungan awam) Ketua Polis Negara (IGP), berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan keselamatan para wartawan.

"Kita tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti masa lalu," katanya, merujuk kepada BERSIH 3.0.

Ditanya mengapa pasukan polis mengambil langkah tersebut sedangkan wartawan dari organisasi berita sudahpun memiliki kad akreditasi kerajaan, Ramli berkata, pas polis yang dikeluarkan itu akan memudahkan keadaan.

"Kadang-kadang, mungkin kita tidak biasa dengan ini (kad akhbar) ... Tugas saya ialah untuk memberitahu pegawai kami bahawa mereka yang memakai pas kita adalah wartawan dan patut diberi kerjasama."

Beliau juga menggesa wartawan untuk memakai jaket yang dengan jelas menunjukkan media organisasi masing-masing semasa perhimpunan tersebut.

Ramli menolak tanggapan bahawa langkah pengenalan khas itu adalah satu percubaan halus untuk menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata organisasi media perlu melihat langkah itu secara positif kerana ia bertujuan untuk melindungi mereka.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.