Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan S'gor terkejut dengan tuntutan Guan Eng
Diterbitkan:  Jan 8, 2013 11:55 AM
Dikemaskini: 7:03 AM

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohd Misri Idris berkata Sultan Selangor "terkejut dan kesal" dengan kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang dilaporkan meminta kerajaan membenarkan kalimah Allah diguna dalam injil berbahasa Melayu.

Mohd Misri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sultan Selangor dalam satu mesyuarat khas yang turut disertai Mufti Selangor pada Ahad lalu menetapkan bahawa kalimah berkenaan hanya boleh digunakan boleh umat Islam.

"(Kalimah Allah) tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010", kata Mohd Misri yang menjelaskan ketetapan oleh Sultan Selangor itu.

Jelasnya, larangan berkenaan dikuatkuasa melalui Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Seksyen 9 enakmen berkenaan dengan jelas melarang kalimah Allah dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka. Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peruntukan ini.

"Baginda juga menitahkan aga orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum di negara ini," katanya.

Kenyataan itu timbul susulan perutusan Lim sempena sambutan Krismas yang menggesa kerajaan BN membenarkan orang Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Injil veris bahasa Malaysia.

Perutusan itu menerima kritikan dari pelbagai pihak, menyebabkan DAP menjelaskan bahawa ia merujuk kepada Injil berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

ADS