120 anggota polis dikerah buru tahanan larikan diri

Polis Pulau Pinang mengerahkan 120 anggotanya memburu tujuh tahanan yang meloloskan diri selepas merampas van polis di Lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth dekat George Town semalam.
    
Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata gerakan memburu penjenayah terbabit turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
    
"Kita yakin banduan berkenaan masih berada di sekitar Tasek Gelugor dan polis telah membuat sekatan jalan raya di seluruh kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Tek A di George Town  hari ini.
    
Beliau berkata polis juga masih menyiasat bagaimana tahanan terbabit mendapat serbuk kari yang dilempar pada muka anggota polis pengiring sebelum mereka melarikan diri.
    
Katanya orang ramai yang ternampak kelibat lelaki dalam keadaan mencurigakan diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan dengan segera kerana kumpulan penjenayah yang melarikan diri itu adalah sangat berbahaya dan agresif.

Dalam kejadian pukul 9 pagi semalam, sembilan tahanan dari Penjara Pulau Pinang meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth dengan sebuah van polis.
    
Banduan itu dikatakan berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan polis terpaksa memberhentikan van di tepi jalan sebelum mereka melempar serbuk cili kepada polis berkenaan dan merampas kenderaan itu.
    
Polis bagaimanapun berjaya memberkas dua daripada tahanan terbabit setelah menemui semula van di Kampung Padang Chempedak di Tasek Gelugor dekat George Town.

- Bernama

 

1. Sembilan tahanan lolos diri dengan rampas van polis

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.