Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menafikan wujud unsur sabotaj berhubung gangguan bekalan air di Ampang, Jalan Semarak dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir Lee Miang Koi sebaliknya berkata, gangguan itu berlaku adalah disebabkan kekurangan sumber bekalan air yang menurutnya masih tidak mencukupi.

Menurut Lee, kekurangan sumber bekalan air adalah disebabkan rumah pam Wangsa Maju menghadapi masalah untuk terus beroperasi dalam keadaan lebih bebanan.

Jelasnya, rumah pam tersebut telah beroperasi melebihi kadar pengepaman dan terpaksa dihadkan kepada 170 hingga 180 juta liter sehari (JLH) berbanding kadar pengepaman biasa iaitu 210 JLH.

"Rumah pam ini beroperasi. Isu pokoknya ialah, dengan kadar pengeluaran ini, masih tidak cukup," katanya pada sidang media di loji pembersihan air Wangsa Maju.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai gangguan bekalan air yang didakwa disebabkan sabotaj oleh SYABAS.

Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar pada 3 Januari lalu menyalah SYABAS yang didakwanya cuai sehingga menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.

Xavier yang dipetik dalam laporan lidah parti PKR Keadilan Daily pada 3 Januari lalu turut mendakwa, kecuaian itu juga merupakan tindakan sabotaj bagi memburukkan imej kerajaan negeri.

Menurut SYABAS, gangguan bekalan air itu disebabkan kerosakan dua rumah pam iaitu rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Mengulas lanjut, Lee berkata, walaupun dua pam air yang sebelum ini rosak telah dibaiki, bekalan air masih tidak mencukupi kerana tidak mampu untuk menampung permintaan penduduk yang semakin meningkat.

Katanya lagi, kekurangan masalah air hanya boleh diatasi sekiranya loji Langat 2 dibina.

"Jika loji Langat 2 dibina, kita boleh ambil air dari sana bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air.

"Walaupun pam dah pulih tapi tak boleh beroperasi dengan maksimum dan perlukan masa kerana permintaan semakin tinggi," katanya lagi.

ADS