MB: Krisis air wajarkan S'gor tamatkan segera konsesi SYABAS

Kerajaan Selangor berpendapat gangguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mewajarkan perjanjian konsesi air dengan Syarikat  Bekalan Air Selangor (SYABAS) ditamatkan segera dan kerajaan negeri dibenar campurtangan dalam operasi air.

"Bagi mengelakkan gangguan bekalan yang lebih teruk serta menjamin kepentingan pengguna air, kerajaan Selangor berpendapat adalah wajar ketika ini perjanjian konsesi ditamatkan sekaligus dan Selangor dibenar melaksanakan 'step in' dalam operasi SYABAS.

"Kita yakin masalah ini hanya dapat diatasi jika kerajaan pusat bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengambil alih perkhidmatan air seperti dihasratkan Akta Perkhidmatan Industri Air atau WSIA 2006," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mesyuarat Exco petang ini.

Masalah ketiadaan air mula melanda sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak 29 Disember lalu.

SYABAS dalam kenyataannya berkata ia berpunca daripada kerosakan pam di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru.

Menurut Khalid, kegagalan rumah pam di Wangsa Maju yang didakwa SYABAS berpunca daripada alat ganti Variable Speed Drive (VSD) adalah tidak berasas.

"Ini kerana sistem VSD memerlukan penyelenggaraan berkala sedangkan SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD.

"Sebelum ini SYABAS hanya memanggil pembekal untuk penyelenggaraan apabila ada masalah timbul," katanya yang melawat rumah pam Wangsa Maju pada 7 Januari lalu.

Tambahnya, pemeriksaan kerajaan negeri dengan pembekal VSD juga mendapati SYABAS gagal mengenal pasti punca sebenar kegagalan operasi rumah pam Wangsa Maju.

"Menurut pembekal VSD, insiden "pump tripped" bukan kerana kegagalan VSD kerana ia adalah sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran, suhu dan lain-lain.

"Sekiranya parameter melebihi had yang telah ditetapkan dalam sistem VSD, maka barulah pam itu akan berhenti (tripped)," katanya sambil menambah kenyataan SYABAS bahawa alat ganti itu perlu diimport dari Finland tidak benar kerana ia boleh didapati dari China melalui perkhidmatan kurier.

Beliau turut mempertikai kenyataan bercanggah bahagian korporat SYABAS yang menyatakan masalah itu boleh diatasi dalam masa tujuh hari dan kenyataan pengerusi SYABAS yang menjangkakan ia berlarutan sehingga Tahun Baru China.

"Ia menunjukkan seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menimbulkan suasana panik dan seterusnya membangkitkan rasa marah di kalangan pengguna air di Lembah Klang kepada kerajaan negeri yang difitnah dan ditohmah sebagai punca masalah," jelasnya.

 

 
 
 
 
 
 
 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.