Empat keluarga Pengerang mohon semakan kehakiman

Empat keluarga dari Pengerang, Johor, telah memohon semakan kehakiman dalam usaha untuk menghentikan pengambilalihan tanah mereka bagi projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia (Rapid).

Peguam mereka, Mohamed Hanipa Maidin memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dan menurutnya projek RM60 bilion itu akan dibatalkan jika semakan itu berjaya.

Beliau berkata antara alasan yang dinyatakan ialah proses pengambilalihan tanah itu dipercayai telah melebihi kuasa yang diberikan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Di bawah Akta Pengambilan Tanah, pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil alih tanah adalah 'pihak berkuasa negeri'. Jika anda melihat Seksyen 2 Akta itu, 'pihak berkuasa negeri' bermakna Sultan.

"Jadi persoalannya, adalah Sultan Johor berkenan dengan pengambilalihan tanah itu? Kita tidak tahu. Berdasarkan pada dokumen, ia adalah kerajaan negeri (yang telah bersetuju)," katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah.

Beliau menambah bahawa pemilikan sesuatu harta juga dilindungi di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Jika anda mahu menuntut tanah kami, anda mesti memberikan kami hak untuk didengar, bukan sahaja mengenai pampasan tetapi projek itu sendiri. Mengapa anda menjalankan projek yang menafikan hak kita? "Katanya.

Hanipa yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, memfailkan permohonan bagi pihak penduduk Pengerang - Sutinah Abu, Loh Back Seng, Lim Boo Kia, Khariah Md Yunus, dan keluarga mereka.

Turut mengiringi beliau ialah kira-kira 30 penyokong anti-Rapid dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (atas), yang mempengerusikan  satu pasukan petugas mengawasi kempen menentang projek tersebut.

Salahuddin menegaskan bahawa kumpulan itu tidak menentang pembangunan, tetapi apa juga pembangunan mestilah mesra alam, tidak menjejaskan kawasan perkuburan, dan tidak sepatutnya melenyapkan kira-kira sepuluh kampung di kawasan itu.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.