Penganjur: Himpunan 12 Jan tetap di Stadium Merdeka

Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat berkata pengurusan stadium bersetuju dengan cadangan mereka untuk menempatkan limpahan peserta di kawasan padang memandangkan stadium itu hanya berkapasiti 30,000 tempat duduk.

NONEAnggota jawatankuasa penganjur, Hishamuddin Rais berkata, pihak pengurusan stadium mempersetujui perkara itu apabila ia dibangkitkannya dalam pertemuan mereka hari ini.

"Ya, mereka bersetuju," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bercakap kepada pemberita sebelumnya aktivis politik itu berkata pintu stadium juga akan terus dibuka semasa acara tersebut dan penganjur menyediakan pembesar suara untuk peserta yang berada di luar stadium.

"Kami difahamkan pintu stadium terus dibuka, kalau kapasiti melebihi, kami tidak akan membenarkan orang ramai masuk... Kami akan pasang alat pembesar suara di luar stadium," katanya lagi.

Setuju bayar deposit

Tambahnya, pihak penganjur dalam pertemuan itu turut menyatakan kesediaan untuk membayar deposit RM75,000 bagi menyewa stadium berkenaan.

"Kita setuju, mana boleh tidak setuju, kita menyewa tempat orang," katanya sambil menyifatkan perbincangan dengan pihak pengurusan stadium berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya bersikap sopan dan tidak melakukan kerosakan harta benda yang mempunyai nilai keasliannya memandangkan tersebut dijaga oleh Merdeka Heritage Trust.

Aktivis sosial itu juga mengingat orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium dan tidak digalakkan menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelakkan kesesakan di kawasan stadium.

Untuk memastikan kawasan tempat letak kereta secara maksimum, beliau turut meminta para peniaga supaya mendirikan gerai berdekatan kawasan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Sedia 80 orang doktor

Hishamuddin berkata pihaknya turut menyediakan khidmat seramai 80 orang doktor dan lebih 100 pembantunya pada perhimpunan itu sekiranya berlaku kecemasan..

Seorang lagi anggota jawatankuasa berkenaan, Tian Chua pula menegaskan bahawa himpunan itu akan tetap diadakan di Stadium Merdeka walaupun Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencadangkan supaya mengguna Stadium Bukit Jalil.

MP Batu itu berkata, Hishammuddin sepatutnya menawarkan Stadium Bukit Jalil lebih awal sekiranya ikhlas berniat demikian.

"Kita akan tetap menggunakan Stadium Merdeka. Kalau beliau ikhlas, sepatutnya tawar lebih awal. Jangan nak sabotaj pengurusan Stadium Merdeka.

"Polis juga tidak ada masalah... Sepatutnya (beliau) tulis surat kepada kita, supaya menggunakan Stadium Bukit Jalil.

'Cakap biar masuk akal'

"Tak boleh cakap mulut, iaitu 48 jam sebelum perhimpunan. Menteri (jika) bercakap biar masuk akal lah," katanya ketika ditemui Malaysiakini di perkarangan Stadium Merdeka hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hishammuddin semalam yang mencadangkan agar perhimpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil kerana lokasi tersebut menurutnya lebih "sesuai dan selamat" serta "tidak menyusahkan rakyat".

Sementara itu, Ibu pejabat polis Dang Wangi semalam mengeluar dan mempamerkan notis pemakluman kepada orang ramai berhubung perhimpunan tersebut berdasarkan seksyen 9(1) Akta Perhimupunan Aman 2012.

Notis itu juga menyebut, berdasarkan sekysen 12(2) akta yang sama, mana-mana orang yang mempunyai kepentingan boleh memaklumkan kebimbangan atau bantahan dan sebabnya secara bertulis kepada Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam tempoh 48 jam dari tarikh notis dikeluarkan.

Notis berkenaan ditampal di kawasan luar stadium dan sekitar jalan menuju stadium tersebut.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.