Penduduk mahu bukti jika SYABAS tak sabotaj

Sekumpulan penduduk Ampang dan Cheras yang terjejas dengan krisis air di kawasan tersebut meminta satu siasatan terperinci dilakukan bagi mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung krisis bekalan air di kawasan tersebut.

Pengerusi NGO Hak Air Untuk Rakyat (HAYAT) Arshad Ahamad yang mewakili kumpulan penduduk berkenaan berkata, siasatan itu perlu dilakukan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

NONE"Kegagalan demi kegagalan pada sistem SYABAS  (Syarikat Bekalan Air Selangor) dalam tempoh beberapa hari sahaja menimbulkan pelbagai tanda tanya.

"Oleh yang demikian kami mahu siasatan terperinci untuk mengesahkan kejadian-kejadian itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mereka yang berniat memburukkan kerajaan negeri Selagor," katanya yang membacakan satu memorandum.

Beliau bersama lebih 40 penduduk lain berhimpun di hadapan Wisma Rozali, yang menempatkan pejabat SYABAS di Shah Alam bagi menyerahkan memorandum tuntutan berkenaan.

Kumpulan penduduk itu hadir ke ibu pejabat syarikat berkenaan susulan kenyataan SYABAS pada Selasa lalu yang menafikan bahawa perkara itu merupakan unsur sabotaj yang sengaja dilakukan pihaknya.

NONEKumpulan berkenaan turut melaungkan slogan "Hidup rakyat. Hancur SYABAS" dan membawa kain rentang yang antara lainnya dengan tulisan: "Nak selesaikan masalah booster pam pecah Wangsa Maju pun ambil masa lebih 14 hari. Memang tak boleh harap punya SYABAS".

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Arshad yang ditemani empat lagi wakil penduduk kepada pengarah eksekutif SYABAS Ismail Hashim.

Ismail semasa menerima memorandum tersebut berkata beliau akan membawa perkara itu kepada pihak pengurusan.

Penduduk di sekitar Ampang dan Wangsa Maju mengalami masalah gangguan air sejak 29 Disember lalu, yang dikatakan berpunca daripada paip di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu mengalami kerosakan.

NONEDalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Arshad berkata, pihaknya akan turut mempertimbangkan untuk mengemukakan saman kepada SYABAS sekiranya masalah air tidak selesai.

Katanya, perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya tiada apa-apa tindak balas daripada SYABAS selepas memorandum itu diserahkan.

"Kita akan mempertimbang untuk saman SYABAS. Insya Allah akan bincang dengan pihak peguam untuk ambil tindakan dalam masa terdekat," katanya lagi.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.