Cecil Abraham enggan ulas isu SD kedua Bala

Peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham, yang didakwa terlibat dengan dakwaan melibatkan akuan berkanun kedua oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam enggan mengulas mengenai dakwaan berkenaan.

Cecil ketika ditemui Malaysiakini hari ini berkata: "Tiada komen mengenai apa saja".

NONEDitanya sama ada beliau akan mengulas mengenai cabaran oleh peguam dan aktivis Haris Ibrahim, Cecil yang juga anggota Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdiam diri dan terus beredar.

Anaknya Sunil, ketika dtemui selepas satu prosiding mahkamah hari ini, juga berdiam diri.

Haris pada 4 Januari lalu dilaporkan mencabar Cecil supaya mengambil tindakan saman ke atasnya untuk membersihkan namanya ekoran dakwaan bahawa peguam kanan itu terlibat menderaf akuan berkanun kedua dan mahu Majlis Peguam menyiasat individu berkenaan atas salahlaku profesional.

Ketua Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Hadenan Abdul Jalil pada 20 Disember lalu berkata Cecil tidak terlibat dalam keputusan panel berkenaan untuk menghentikan siasatan ke atas Balasubramaniam.

Malaysiakini sebelum ini cuba menghubungi Cecil, yang merupakan sekutu kanan di firma guaman Zul Rafique and Partners, sejak bulan lalu melalui telefon, kiriman surat, faksimili dan emel namun tidak mendapat jawapan.

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti berhubung penglibatan peguam kanan itu dan perkara berkenaan dan akan mengemukakannya kepada Majlis Peguam untuk siasatan.

Laporan sebelum ini memetik kenyataan pengerusi Majlis Peguam Lim Chee Wee bahawa ia sedang menyiasat untuk menentukan identiti peguam misteri yang didakwa menderaf akuan berkanun kedua itu.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.