Polis sasar 'kecelakaan sifar' dalam himpunan 12 Jan

Polis Bukit Aman berharap tiada kecelakaan akan berlaku sewaktu Himpunan Kebangkitan Rakyat 2012 pada hujung minggu ini.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Ramli Mohamed Yoosuf, pihak polis sentiasa meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan mereka.

NONE"Kami serius tentang keselamatan semua orang termasuklah media. Matlamat kami adalah sifar kecelakaan dalam apa-apa bentuk sekali pun.

"Perkara ini turut dibincangkan sewaktu pertemuan ketua polis negara dan penganjur beberapa hari lalu. Soal keselamatan menjadi tumpuan perbincangan, baik keselamatan penganjur mahupun orang ramai," katanya.

Menurutnya, polis akan menjalankan tugas mereka mengawasi perhimpunan itu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Justeru, penglibatan kanak-kanak adalah dilarang sama sekali, tambahnya lagi.

Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada April tahun lalu, dakwaan demi dakwaan timbul berhubung tindakan kekasaran polis ke atas peserta himpunan.

Dalam perhimpunan itu, polis turut mengasari seorang wartawan Malaysiakini, Koh Jun Lin, dan merampas kad memori kameranya.

Sehingga hari ini, polis masih belum mengembalikan semula kad memori tersebut kepadanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.