Pelakon Abu Bakar Omar hadir ceramah PKR

Pelakon filem dan drama Abu Bakar Omar dilihat hadir ke ceramah PKR di AU3 Wangsa Maju malam tadi.

Beliau ditemui Malaysiakini di gerai tomyam berhampiran tapak ceramah selepas ceramah tamat pada kira-kira jam 12 tengah malam.

NONEDitanya jika beliau sering menghadiri ceramah PKR, Abu Bakar dengan senyuman terukir di bibir menjelaskan beliau "sering hadir ke ceramah-ceramah politik".

Beliau yang tidak keberatan dirakam gambarnya menjelaskan rumahnya terletak di kawasan Keramat yang hampir dengan tapak ceramah malam tadi.

Beliau juga hanya ketawa kecil apabila ditanya rakan-rakan semeja tentang gilirannya untuk berceramah di pentas politik memandangkan golongan artis lain yang aktif berceramah kini 'ketagih' untuk terus berceramah.

Ditanya jika beliau akan turut sama menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat esok, Abu Bakar menjelaskan beliau terikat dengan komitmen kerja pada hari yang sama.

"Saya ada penggambaraan Sabtu ini (esok)," katanya ringkas.

Abu Bakar Omar telah membintangi banyak drama dan filem sejak tahun 1980-an.

Namanya melonjak naik selepas membintangi filem Tsu Feh Sofiah pada tahun 1981.

Generasi muda hari ini pula mengenali beliau menerusi filem Hingga Hujung Nyawa lakonan bersama Erra Fazira dan Yusry KRU pada tahun 2004.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.