DAP jangka Parlimen bubar lepas Tahun Baru Cina

DAP menjangka Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh selepas sambutan Tahun Baru Cina dan selepas penggal DUN Negeri Sembilan berakhir pada 27 Mac.

MP DAP Liew Chin Tong dalam tulisannya di Facebook menjangka, pembubaran itu akan berlaku di antara 25 Februari dan 27 Mac.

"25 Februari kerana 24 Februari adalah hari terakhir Tahun Baru Cina. Parti komponen BN alami kesukaran ketika Parlimen dibubarkan pada hari ketujuh Tahun Baru Cina, iaitu 13 Februari 2008. Najib cenderung untuk mengelakkan perkara itu.

"Ada  juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa hari membuang undi di luar (tempoh) cuti sekolah di akhir Mac untuk mengelakkan penduduk bandar pulang ke kampung untuk mengundi," katanya dalam tulisan itu.

Jangkaan Liew mungkin tidak jauh tersasar memandangkan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada minggu lalu turut menimbulkan mengenai tarikh pembubaran berkenaan.

Dalam tulisan di Twitter minggu lalu, Khairy menulis: “Hari terakhir untuk bubar Parlimen ialah 28 April. Tetapi hari terakhir untuk bubar DUN Negeri Sembilan ialah 27 Mac. Jadi..."

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan semalam turut mengingatkan jentera pilihan raya BN untuk membuka pusat operasi di setiap daerah mengundi menjelang 1 Februari.

Menteri Kewangan (II) Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada minggu lalu mengumumkan bahawa buah tangan dalan Belanjawan 2013 akan diagihkan sebelum penghujung Mac.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.