Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Keputusan mahkamah tinggi mengenai Kg Plentong' dibatalkan

Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur hari ini memutuskan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberi perintah mahkamah kepada pemaju Bukit Lenang Development Sdn Bhd (BLD) adalah "tidak releven" dan keputusan memindahkan penduduk Kampung Baru Bukit Plentong Tengah, Johor Bahru pada 9 Mac lalu dibatalkan.

Menurut koordinator Suaram, Eugene Tan, Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan tersebut setelah merujuk dasar Ordinan Tanah 1989 dan jelas pihak pemaju tidak mempunyai kredibiliti untuk menang dalam kes di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

"Keputusan mahkamah adalah tepat kerana penduduk yang tidak tahu apa-apa telah ditindas oleh pihak pemaju," ulas Eugene kepada malaysiakini .

Karpal Singh mewakili.95 orang, manakala Abdul Razak Ahmad mewakili 167 orang penduduk kampung tersebut. Bagaimanapun peguambela Norhayati Mohamad yang mewakili sebahagian besar penduduk kampung itu telah menarik diri.

Dalam perbicaraan hari ini, Karpal mempertikaikan hak milik tanah yang diperoleh BLD berdasarkan Ordinan Tanah 1989 iaitu syarat pembeli tanah ialah memastikan tanah tersebut tidak terlibat dalam sebarang bentuk konflik dengan penduduk (terutama yang melibatkan perjanjian)

Pemaju perumahan melalui peguam, Izzat Othman, membantah hujah Karpal berdasarkan penduduk tidak mempunyai perjanjian tanah yang sah ke atas pembeli (BLD). Justeru itu, penduduk tidak mempunyai hak secara rasmi ke atas tanah mengikut Ordinan Tanah 1989.

Bagaimanapun, Razak menyatakan perjanjian itu dijalankan secara tidak adil. Penduduk kampung didakwa telah ditindas dan pihak pemaju telah menyalahgunakan kuasa yang diberikan berdasarkan kelemahan penduduk-penduduk kampung ini.

Sebelum ini malaysiakini melaporkan tanah tersebut telah bertukar milik sebanyak empat kali. Tanah asal milik kerajaan negeri itu dijual kepada syarikat Jet Age pada 1987. Ia kemudiannya diperolehi oleh syarikat Oakfield yang dijualkan kepada BLD pada 1996

Penduduk kampung berusaha selama 15 tahun bagi mendapatkan hak milik tanah. Dalam percubaan tersebut penduduk telah melantik 11 peguam untuk menguruskan urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru Plentong Tengah, Taslim Nani, bersyukur atas keputusan mahkamah rayuan hari ini dan berharap pihak pemaju bersedia berunding dengan penduduk kampung. Surat permohonan untuk berunding telah diserahkan kepada BLD pada 23 Mac lalu, namun tidak ada sebarang tindakbalas daripada pihak pemaju yang menyatakan persetujuan bagi mengadakan perundingan tersebut.

"Penduduk kampung berharap kes ini dapat diselesaikan dengan cara damai oleh pihak pemaju," mohon Taslim selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS