Tahanan guna telefon awam elak dikesan

Polis mengesan dua lagi baki tahanan yang lolos dalam kejadian minggu lepas iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, menggunakan telefon awam di Taman Chai Leng, di Perai petang semalam.
    
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata walaupun dua tahanan itu mempunyai telefon bimbit, mereka memilih untuk menggunakan telefon awam supaya polis tidak dapat mengesan lokasi mereka.
    
"Mereka tahu telefon bimbit mempunyai satu sistem untuk mengesan di mana orang yang membuat panggilan itu berada, jadi mereka guna telefon awam," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya, di Bukit Mertajam hari ini.
    
Beliau berkata Operasi Mengesan Gelugor yang masuk hari ke lapan hari ini diteruskan dengan memperluas kawasan operasi sehingga ke utara Perak.
    
"Tetapi saya percaya mereka masih berada di sekitar Permatang Pauh kerana berdasarkan maklumat yang diterima dua lelaki itu tidak mempunyai kenderaan," katanya.

Beliau berkata polis juga dimaklumkan tiada lagi rakan yang ingin membantu mereka dan disebabkan itu kedua-dua penjenayah terbabit mula keluar dari tempat persembunyian untuk meminta bantuan orang awam.
    
Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis sedang menyiapkan kertas siasatan terhadap empat anggotanya mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan tahanan lari.
    
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan
merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
    
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat Bukit Mertajam pada hari Khamis.
    
Dua hari kemudian polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.