Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Sesyen Seremban hari ini melepas dan membebaskan bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan Datuk Dr Noor Soeraya Norsham daripada empat tuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan pangkat dan gred antara 2009 hingga 2011.

    

Hakim Datin Nursinah Adzmi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir pendakwaan.

    

Nursinah dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati tertuduh tiada pengetahuan dan akses mengenai surat menyurat yang dihantar oleh ibu pejabat di Putrajaya.

    

"Walaupun jelas dokumen P11 hingga P16 dipalsukan, pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti menyatakan dokumen itu dipalsukan oleh tertuduh," katanya.

    

Dr Noor Soeraya, 40, yang kini pegawai veterinar di Seksyen Komunikasi Korporat dan Antarabangsa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, hadir ke mahkamah bersama suaminya, Kee Zain Kee Yusof, 51.

Keputusan pembebasan itu disambut gembira Dr Noor Soeraya dan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah beliau menyatakan syukur dan akan meneruskan khidmatnya dalam perkhidmatan awam.

    

"Saya penjawat awam biasa dan hanya ingin terus bekerja. Saya akan berkhidmat seperti biasa," katanya.

    

Mengikut pertuduhan pertama Dr Noor Soeraya didakwa menyerahkan dokumen palsu iaitu surat arahan kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 bertarikh 27 Februari 2009 kepada Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Siti Norhayati Md Yusof bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun jawatan Gred G48 dengan memperoleh RM39,536.

    

Sementara tuduhan kedua, dia didakwa menyerahkan dokumen palsu, surat arahan pemangku jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 - Khas Untuk Penyandang (KUP) di Jabatan Veterinar negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertarikh 28 Disember 2009 kepada Siti Norhayati bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun jawatan Gred G48 dengan memperoleh RM5,013.83.

    

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memberi dokumen palsu, surat keputusan urusan kenaikan pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke Gred G52 bertarikh 1 Julai 2010 kepada Siti Norhayati bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun dengan memperoleh RM5,764.86.

    

Bagi pertuduhan keempat pula, dia didakwa menyerahkan dokumen palsu, surat keputusan pemangkuan jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 ke Gred G54 bertarikh 31 Mac 2011 kepada Siti Norhayati.

    

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh ketika memangku jawatan Gred G44 di pejabat Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai dan di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Lot 1504, Mukim Pantai, Batu 6, Jalan Jelebu di sini antara 16 Mac 2009 dan 24 Julai 2011.

    

Tertuduh diwakili peguam Abd Aziz Hamzah, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nuurhafiedzah Md Daud dan Afifah Yusof.

    

- Bernama

ADS