PAS percaya k'jaan tekan Bank Islam

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar percaya kerajaan BN memberi tekanan politik ke atas Bank Islam untuk mengambil tindakan menggantung tugas ketua ekonomis bank tersebut, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Beliau mengesyaki bahawa tekanan politik itu dibuat menerusi Lembaga Urusan Tabung Haji yang merupakan antara pemegang saham Bank Islam.

NONE"Saya percaya (arahan) itu terus dari kerajaan. Saya tak fikir Bank Islam akan ambil tindakan sebodoh itu kerana ia akan memberi kesan ke atas kepercayaan org ramai kepada Bank Islam," katanya.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS pagi ini, ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebuah institusi kewangan pastinya tidak akan bertindak demikian terhadap ahli ekonominya.

Katanya, Azrul mengeluarkan analisis bersifat profesional demi kepentingan bank itu.

Azrul sendiri ketika mengulas mengenai tindakan penggantungan kerja itu semalam mendakwa ketuanya kini menerima tekanan daripada "pemimpin atasan BN".

NONEMenurut Mahfuz, penggantungan itu juga memberikan gambaran seolah-olah Bank Islam mengabaikan analisis pakar ekonominya untuk manfaat pelanggan bank itu dan mendahulukan kepentingan politik BN.

Tindakan itu, kata Mahfuz, memberikan mesej yang salah kepada mereka yang menyimpan dan melabur duit mereka dalam Bank Islam serta Tabung Haji.

"Kalau ini berlaku apa jaminan Tabung Haji dan Bank Islam boleh jaga kepentingan pendeposit (mereka)?

"Saya sudah hilang keyakinan kepada Bank Islam dan Tabung Haji
sekarang," katanya.

Sementara itu Tabung Haji ketika dihubungi menyifatkan bahawa isu penggantungan tugas berkenaan hanyalah isu dalaman Bank Islam dan tiada kena mengena dengan lembaga tabung haji itu.

NONEPengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad berkata Tabung Haji dan Bank Islam ditadbir secara berasingan.

Kedua-dua syarikat itu juga menetapkan syarat pekerjaan yang berbeza kepada kakitangan masing-masing, katanya.

"Saya rasa Tabung Haji tiada kena mengena kerana isu ini adalah isu dalaman Bank Islam sendiri.

"Bank Islam dan Tabung Haji memiliki lembaga pengarah yang berbeza dan isu ini sebaiknya dirujuk kepada bahagian sumber manusia Bank Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa Tabung Haji memiliki kepentingan 18 peratus dalam Bank Islam.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.