Abim: Isu kalimah Allah dipengaruhi saingan politik

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendesak agar semua pihak menghentikan segera sebarang kenyataan atau pandangan berhubung dengan polemik kalimah Allah yang telah berlarutan semenjak beberapa lama.

Desakan Abim selaras dengan penyataan yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menggesa agar semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan proses perundangan berkaitan masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Abim juga menyahut balik pendirian PAS sepertimana yang dikemukakan menerusi setiausaha agung parti tersebut, yang menegaskan bahawa isu kalimah Allah sudah tidak perlu dibangkitkan lagi.

Berdasarkan kepada corak perbincangan mengenai isu terbabit, Abim menilai ia terlalu dipengaruhi kepentingan saingan politik bersifat kepartian serta boleh menjejaskan keseimbangan dalam tatacara keharmonian antara kaum di negara.

Sekiranya polemik ini berlarutan, Abim khuatir ia akan mencemari sebarang pertimbangan ilmiah, akademik serta dakwah yang seharusnya menjadi asas rujukan dalam membicarkan isu ini.

Janganlah kerana ingin mengejar populariti politik menjelang PRU-13, kesucian serta nama baik Islam kita cemari dengan menjadikannya sebagai modal meraih populariti siyasah semata-mata.

Berpegang pada hakikat ini, Abim menggesa gencatan isu 'Kalimah Allah' perlu dipatuhi dan dan dihormati serta menggesa sebarang pandangan serta kenyataan berhubung dengan isu ini tidak dikeluarkan mulai hari ini.



AMIDI ABD MANAN adalah presiden Abim

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.