Penyokong bola K'tan persoal kehadiran tentera

Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan mempersoalkan kehadiran tentera dilengkapi raifal tempur yang berkawal semasa perlawanan pasukan Johor menentang pasukan Kelantan di Kota Bharu kelmarin.

Akhbar Berita Harian memetik kenyataan timbalan presiden kelab berkenaan, Mahizi Mahmood sebagai berkata, kehadiran pasukan bersenjata itu mempengaruhi tindakan penyokong tuan rumah yang didakwa membuat kecoh selepas tamat perlawanan.

NONE"Kehadiran anggota tentera terbabit yang kononnya untuk mengawal keselamatan pegawai dan pemain Johor DT seperti menidakkan kemampuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan polis Kelantan menjaga keselamatan di stadium berkenaan.

"Ia juga menggambarkan penyokong Kelantan adalah ganas dan tidak bertanggungjawab. Mereka berasa terhina kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajar mengambil tindakan tegas terhadap PBNJ (Persatuan Bola Sepak Negeri Johor)," kata Mahizi seperti dipetik Berita Harian.

Laporan itu seterusnya menyebut, PBNJ menempatkan sekurang-kurangnya enam anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) bersenjatakan M-16  untuk mengawal keselamatan pegawai dan pemainnya di stadium itu.

"Anggota tentera terbabit berkawal di pintu masuk padang berhampiran bilik persalinan dari awal hingga perlawanan tamat.

"Pegawai dan pemain Johor DT termasuk Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo turut dikawal beberapa pengawal keselamatan ketika mereka keluar dari bas untuk memasuki bilik persalinan di stadium terbabit," laporan itu dipetik.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.