Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pentadbirannya akan melakukan yang terbaik dalam pilihan raya umum akan datang walau bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kemenangan tipis BN sebagai kemenangan "kosong".

"Kami akan buat yang terbaik... Sudah tentu kami mahu sebuah kerajaan yang kuat," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media lewat malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir pada petang ini yang menilai prestasi pentadbiran seperti itu, sekiranya BN kekal menang dalam pilihan raya umum akan datang kerajaan dengan sokongan dan undian yang merosot.

Dalam sidang medianya lewat malam ini, Najib turut ditanya lagi mengenai perjalanan proses siasatan Suruhanjaya Diraja berhubung isu pendatang tanpa izin di Sabah.

Mengulas perkara itu, Najib yang juga presiden Umno berkata BN patut diberi pujian kerana mengadakan siasatan berkenaan.

"RCI adalah manifestasi yang jelas dan keikhlasan (kerajaan) untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin. Kamu patut beri pujian kepada BN...

"Kita belum sampai kepada hasil siasatan. Sebanyak 167 saksi akan dipanggil. Jadi jangan terus kepada kesimpulan.

"Biarkan ia berlangsung dan RCI akan membuat keputusan."

Bukan isu besar

Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengakui memberi IC mengikut undang-undang, Najib berkata selagi ia dibuat mengikut undang-undang, ia tidak salah.

"Seperti yang Tun Mahathir katakan bahawa satu juta kerakyatan diberi kepada (golongan) Cina Malaysia. Anda tahu betapa ramai (masyarakat) India Malaysia yang turut dapat kerakyatan.

"Ia bukan isu besar selagi anda melakukankan mengikut undang-undang... Biarkan suruhanjaya siasat dan jalankan tugas," katanya.

Ditanya lagi sama ada beliau melihat perkara yang didedahkan dalam RCI tersebut membawa kesan buruk, Najib berkata beliau tidak melihat sedemikian.

"Tidak, selagi orang tidak putar (dengan) cara tidak betul. Tolong terima ini adalah (usaha) ikhlas kami, untuk menyelesaikan masalah ini yang menjadi kebimbangan orang Sabah sejak lama."

ADS