Polis sedang lengkap siasatan kes rogol dua beradik

Polis sedang melengkapkan siasatan kes rogol dan cabul dua beradik perempuan di daerah Kerian pada akhir tahun lepas
berdasarkan keterangan enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata kesemua enam individu itu yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan dua beradik perempuan berusia lima dan tujuh tahun itu yang didakwa didera secara seksual, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita juga menunggu laporan rakaman percakapan dua kanak-kanak itu dengan menggunakan khidmat pakar psikologi kanak-kanak di Bukit Aman. Kita masih dalam proses melengkapkan siasatan kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 118 anggota dan kakitangan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Sungai Siput, Gerik dan Pengkalan Hulu di Kuala Kangsar semalam.

Ibu kedua-dua kanak-kanak itu yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai jurujual membuat laporan polis di IPD Kerian pada 27 Disember lepas.   

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.