Menteri: Isu Bawani-Sharifah tiada kaitan KPT, k'jaan

Insiden pertikaman lidah antara Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia(SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dengan pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi isu hangat dalam blog dan laman sosial sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Kementerian Pengajian Tinggi mahupun kerajaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut diadakan di atas anjuran pelajar di universiti itu sendiri dan Sharifah Zohra dijemput atas kapasitinya sendiri untuk menjadi moderator.
    
"Di universiti bukan semua program yang diadakan anjuran kerajaan, kerana ada juga program yang dianjurkan oleh golongan mahasiswa sendiri.
    
"Tetapi apa yang terjadi dalam isu ini seolah-olah kita pula yang atur program itu dan meminta Sharifah bercakap seperti itu atas alasan berkehendakkan minda pelajar disekat dan ditutup.
    
"Sharifah bukan tenaga akademik dan bukan kakitangan kementerian atau UUM, dia dijemput oleh pelajar untuk menjadi moderator, dari mana dia datang saya tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Restoran Asam Pedas dan Seafood Warisan Kampung Senibong, hari ini yang turut dihadiri oleh Adun Permas Datuk M M Samy, Adun Johor Jaya Tan Cher Puk, dan Pengerusi Koperasi Warisan Senibong Yacob Sahadan.  
    
Mohamed Khaled yang kesal dan kecewa dengan kejadian itu berkata, insiden seperti itu tidak sewajarnya berlaku di dalam universiti.
    
Menurutnya kementerian tidak pernah bercadang menyekat kebebasan bersuara atau program percambahan idea di kalangan mahasiswa walaupun kadangkala cara menyoal mereka dan pemerhatian terhadap sesuatu isu itu agak keterlaluan.
    
"Bagaimanapun, kita akan teruskan program yang mana pelajar dibenarkan menganjur pelbagai aktiviti, boleh bersuara, bebas memberi pendapat dan pandangan, tetapi dalam masa yang sama mereka perlu lebih sensitif," katanya.
    
Klip video 24 minit yang menunjukkan pertikaman lidah antara Sharifah Zohra dan Bawani, menjadi topik hangat perbincangan dalam forum Internet dan Facebook.
       
Klip video Forum yang bertajuk "Seiringkan Mahasiswa dan Politik' pada 8 Disember di sebuah universiti tempatan itu dimuatnaik ke YouTube, 9 Januari lepas.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.