Menteri: K'jaan ambil kira maklum balas isu gaji minimum

Maklum balas daripada pihak majikan terhadap isu levi serta elaun pengangkutan dan perumahan akan diambil kira di dalam perlaksanaan dasar gaji minimum tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata isu tersebut merupakan perkara utama yang dibangkitkan semasa dua perbincangan kementeriannya bersama pihak majikan di negara ini sehingga kini.

“Isu-isu tersebut akan dibangkitkan di kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk menentukan tindakan yang akan diambil," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Ponggal anjuran MIC Bahagian Gelang Patah di Johor Bahru hari ini.

Mengenai kebimbangan majikan yang terpaksa melepaskan pekerja asing mereka berikutan perlaksanaan dasar itu, beliau berkata itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi bagi pekerja tempatan.

“Kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan perlaksanaan dasar gaji minimum itu akan menyebabkan pihak majikan memikirkan alternatif untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka," katanya.

Menurut beliau, itu termasuk menstruktur semula operasi dengan memilih sama ada mengamalkan operasi separa automasi atau automasi penuh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja tidak mahir.

Menurut Subramaniam, keperluan terhadap pekerja asing akan terus ada namun kerajaan menyasarkan pengurangan mereka di negara ini secara berperingkat.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.