AMK bakar penerbitan didakwa fitnah Anwar

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor hari ini bertindak membakar risalah serta buku yang didakwa memfitnah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmizam bersama beberapa orang anggota AMK bertindak membakar penerbitan berkenaan di hadapan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

NONEMenurut Ketua AMK Selangor, Azmizam Zamanhuri berkata, risalah dan buku yang dicetak tanpa nama penerbit itu dikesan diedarkan ke rumah di kawasan Taman Sri Andalas, Klang.

"Yang terbaru kita menerima buku (bertajuk) Anwar dan Agenda Zionis semalam yang diedar di Taman Sri Andalas tanpa nama dan alamat penerbitan.

"Kita dapati buku ini berunsur fitnah dan perkara begini dilihat sebagai BN dan Umno ini terdesak untuk mengambil alih semula negeri Selangor," katanya.

Dalam sidang media sebelum membakar risalah berkenaan, Azmizam berkata penerbitan tersebut antara lainnya mengaitkan Anwar dengan beberapa tokoh Israel.

Selain buku dan risalah, penduduk juga menerima cakera video yang didakwa mengandungi bahan lucah, kata Azmizam.

"Melalui laporan orang ramai, yang hantar benda itu semua ialah dua orang lelaki menaikki motor hantar rumah ke rumah.

"Kita akan gerakkan anggota kita untuk tangkap pengedar ini. Kita juga minta supaya mana-mana penduduk yang dapat buku atau mana-mana risalah fitnah supaya serahkan kepada pejabat Pakatan Rakyat untuk kita kumpul lagi dan bakar," katanya lagi.

Azmizam berkata, AMK akan membuat laporan polis dan mengharap agar satu siasatan akan dibuat berhubung perkara tersebut.

"Kita akan buat laporan polis dan harap mereka akan siasat. Kita rasa ini baru fasa pertama dan saya percaya buku dan risalah ini akan diedar ke kawasan lain," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.