BN P Pinang serah nama calon pada PM

Senarai nama bakal calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata BN Pulau Pinang yakin calon yang disenarai pendek itu mampu menang namun perdana menteri yang juga pengerusi BN akan membuat keputusan muktamad mengenai pemilihan calon.

"Kata putus mengenai calon terletak di tangan pengerusi BN dan saya di peringkat negeri hanya mampu memberi pandangan dan maklum balas terhadap senarai calon yang dipilih itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM200 kepada 572 pelajar cemerlang yang mendapat 8A dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah.

Pada perkembangain lain, Teng kesal dengan dakwaan Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy kononnya parti Gerakan bertanggungjawab menganjurkan acara Penang Run 2013 pada Ahad ini yang kebetulan bertembung dengan sambutan Thaipusam.

Katanya Ramasamy hanya mempolitikkan perkara itu walaupun mengetahui acara itu dianjurkan badan bukan kerajaan.

Penganjur juga memberi kenyataan bahawa acara sukan itu bertujuan menggalakkan rakyat mengamal gaya hidup sihat dan diadakan pada hari cuti umum dan secara kebetulan pula bertembung dengan sambutan Thaipusam.

Penang Run 2013 dianjurkan Tanjung Social Club dan Penang Forward Sports Club dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia dan Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.