Mahkamah Persekutuan: Kerusi Kota Siputeh tak kosong

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh di Kedah tidak kosong kerana Anggota Dewan Undangan Negerinya, Datuk Abu Hasan Sarif daripada Barisan Nasional, bukan gagal menghadiri dua persidangan Dewan Undangan Kedah pada 2009, secara berturut-turut.
    
Dalam keputusan majoriti 4-1, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengisytiharkan bahawa kedua-dua hari itu, 19 April dan 9 Ogos 2009, tarikh Abu Hasan tidak hadir tanpa kebenaran Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bukan mesyuarat berturut-turut dalam satu sesi.
    
Beliau berkata Abu Hasan tidak hadir pada mesyuarat akhir sesi pertama dan mesyuarat pertama sesi kedua.
    
"Sehubungan itu, mesyuarat terakhir pada sesi sebelumnya dan mesyuarat pertama pada sesi baharu tidak boleh dianggap sebagai berturut-turut," katanya.
    
Zulkefli berkata tidak ada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah yang mengkehendaki Sultan Kedah untuk memprorog atau menamatkan sesi terdahulu sebelum sesi baharu bermula.
    
"Bagi Dewan Undangan Negeri Kedah, adalah menjadi amalan untuk memanggil mesyuarat pertama pada sesi pertama dan memprorog sesi sebelumnya secara khusus," katanya.

Dalam penghakimannya, Zulkefli berkata maksud 'mesyuarat' dalam Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (yang menyatakan bahawa kerusi mana-mana anggota dewan undangan negeri akan menjadi kosong jika mereka tidak hadir dua kali berturut-turut di dalam Dewan tanpa kebenaran Speaker) hendaklah ditafsir sebagai bermaksud satu mesyuarat selepas mesyuarat awal tanpa gangguan dalam sesi yang sama.
    
Beliau berkata semua dokumentasi, malah speaker sendiri, menunjukkan bahawa mesyuarat pada 9 Ogos 2009 adalah yang pertama pada sesi kedua.
    
Zulkefli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Mohd Yusoff, Datuk Ahmad Maarop serta Datin Paduka Zaleha Zahari secara majoriti menolak rayuan Abdul Isa berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kerusi Kota Siputeh sebagai kosong.
    
Datuk Zainun Ali, dalam keputusan bertentangan memutuskan bahawa maksud 'dua mesyuarat berturut-turut' dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah perlu ditafsir secara literal, yang bermakna satu mesyuarat selepas mesyuarat lain
secara berturut-turut, dan sama ada kedua-duanya berlaku dalam satu sesi atau sebaliknya adalah tidak relevan.
    
"Tidak ada pengisytiharan dikeluarkan oleh Sultan untuk memprorog persidangan itu di akhir mesyuarat kelima pada sesi pertama. Mesyuarat kelima ditannguh sine die dan disambung semula pada 9 Ogos 2009, yang merupakan kesinambungan mesyuarat pada sesi yang sama," katanya.

Zainun berkata sehubungan itu, persidangan tersebut tidak boleh dianggap sebagai telah ditamatkan berikutan tindakan Sultan mengeluarkan pengisytiharan dan memanggil mesyuarat seterusnya.
    
Keputusan majoriti itu menyaksikan Abu Hasan kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Kota Siputeh.
    
Ketika diminta mengulas keputusan mahkamah, Abu Hasan bersyukur kerana keputusan Mahkamah Rayuan kekal dan beliau masih menang dalam kes itu.
    
"Saya masih bertugas sebagai wakil rakyat dan akan terus berikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
    
Peguamnya, Datuk Hafarizam Harun berkata Abu Hasan akan menulis surat kepada speaker untuk meminta elaun beliau yang didakwa tidak diperoleh sejak Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 2009.
    
Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengadakan pilihan raya kecil selepas beliau mengisytiharkan kerusi Abu Hasan kosong.
    
Pada 16 November 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Abdul Isa untuk mengisytiharkan Abu Hassan bukan lagi Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi itu, namun pada 18 Ogos 2011, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu.
    
- Bernama

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.