1,062 hektar sawah di Kedah, Perlis diancam bena perang

Seluas 1,062 hektar sawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah dan Perlis diancam bena perang sejak Oktober tahun lalu.
    
Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Wira Mohd Johari Baharum berkata, akibat serangan itu, industri padi di kawasan Mada itu mengalami kerugian kira-kira RM3.628 juta.
    
Menurut beliau, daripada keseluruhan kawasan terbabit, seluas 841 hektar adalah di Kedah yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM2.468 juta sementara 221 hektar di Perlis menyebabkan kerugian kira-kira RM1.160 juta.
    
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan sawah yang teruk diancam makhluk perosak itu di Kampung Simpang Sanglang dekat Kangar semalam.
    
Turut mengiringinya ialah Timbalan Pengurus Besar Mada, Datuk Roslee Baharom dan Pengurus Wilayah 1 Mada Perlis, Ruslan Abdul Ghani Ahmad.
    
Johari berkata, ancaman itu mula dikesan Oktober tahun lalu dengan kebanyakan kawasan yang terbabit tidak dapat diselamatkan lagi.
    
Antara punca masalah ancaman itu ialah sikap para petani yang jarang turun ke sawah sehingga mereka tidak dapat mengesan ancaman itu pada peringkat awal yang akhirnya merebak.
    
Beliau menasihati para petani khususnya di kawasan Mada agar memperuntukkan masa yang mencukupi untuk memantau sawah mereka supaya ancaman makhluk perosak dapat dikesan pada peringkat awal dan tanaman padi dapat diselamatkan.
    
Mohd Johari berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin peladang peringkat kawasan dan unit dalam kawasan Mada sebelum Tahun Baru Cina ini bagi membincangkan pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani masalah itu.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.