Badan Kehakiman M'sia bebas, kata bekas hakim

Walaupun kritikan dan tuduhan dilempar berhubung ketelusan dan kebebasan sistem kehakiman Malaysia, namun seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie menegaskan tidak pernah sepanjang perkhidmatannya ada orang yang cuba mempengaruhi beliau dalam membuat keputusan.
    
"Saya telah berkhidmat sebagai hakim sebagai 15 tahun dan tidak pernah berlaku di kalangan ketua-ketua saya yang berkata: "Sulong, kamu buat keputusan ikut cara ini dan bukan cara itu. Ia tidak pernah berlaku.
    
"Di Mahkamah Persekutuan, terdapat lima orang hakim dan salah seorang daripada kami akan menulis penghakiman dan menyampaikannya kepada yang lain. Sekiranya kami tidak bersetuju, kami akan berselisih pendapat. Tidak berlaku di mana kami perlu mengikut.
    
“Sesungguhnya, kami menegakkan kebebasan kehakiman," katanya kepada Bernama.
    
Sulong, 66, yang merupakan anak Sarawak pertama dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan bersara Jumaat lalu.
    
"Bagi membolehkan untuk mentadbir keadilan menurut undang-undang adalah sesuatu yang kami junjung. Sebagai seorang hakim, kita mesti pastikan kita menjunjung keadilan dan memastikan keadilan ditegakkan. Saya fikir kami telah melakukannya," kata beliau.
      
Sulong menambah transformasi kehakiman di negara ini turut mengurangkan kes tertangguh di mahkamah.
    
"Kami telah bekerja kuat. Terdapat terlalu banyak penangguhan sehingga kami perlu mengorbankan masa kami untuk menyelesaikan kes-kes ini. Kami perlu memastikan keadilan dilakukan dengan segera. Kesemua kami bekerja dengan sepenuh hati bagi memastikan kami menyudahkan kes kami," katanya.
      
Beliau dilahirkan dalam keluarga sederhana pada tahun 1947 di Saratok, kira-kira 140km dari Kuching. Semasa kanak-kanak, beliau membantu bapanya menoreh getah dan menjual kuih di kampungnya bagi mendapat duit poket.
    
"Arwah bapa saya sentiasa mahu saya jadi pembantu pertanian di mana saya boleh dapat uniform percuma. Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi peguam atau hakim.," katanya.

“Arwah bapa saya akan berkata: "Sulong, belajarlah menanam getah. Kalau tua nanti ada kebun sendiri boleh tanam getah. Bila saya jadi hakim, saya juga dapat uniform percuma," katanya sambil tersenyum.
    
Anak keempat dari sembilan beradik ini memulakan kerjayanya pada usia 17 tahun apabila dilantik sebagai Pegawai Pentadbiran Sarawak (SOA) percubaan di Perkhidmatan Awam Sarawak pada 1964.
    
Ketika berumur 23 tahun, Sulong dilantik Pegawai Daerah Bintulu, yang termuda di Malaysia ketika itu.
    
Beliau memulakan kerjaya di bidang kehakiman apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada September 1998 di Mahkamah Tinggi Malaya di Johor Bahru.
    
Dua tahun kemudian, beliau dilantik pula sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu dan seterusnya pada 2007, dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya dan pada April tahun lepas, dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan di Istana Keadilan.
    -
"Kekesalan saya ialah bapa saya tidak sempat melihat saya menjadi hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Beliau meninggal beberapa bulan sebelum saya dilantik sebagai hakim," katanya.
    
Minat Sulong dalam undang-undang bermula apabila beliau berkhidmat di perkhidmatan awam, yang keperluan bagi seseorang pegawai pentadbir dipertimbang untuk kenaikan pangkat ialah lulus peperiksaan undang-undang.
    
Dari situ ia adalah sejarah. Untuk belajar undang-undang, beliau pergi ke London menerusi biasiswa kerajaan negeri Sarawak untuk belajar di Inns of Court School of Law pada 1971.
    
“Saya sentiasa bersyukur kepada kerajaan negeri Sarawak kerana memberi saya peluang melanjutkan pelajaran saya. Jika tidak, saya tidak fikir saya boleh menjadi hakim. Saya bernasib baik. Namun apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja kuat dan kita boleh mencapai sebarang impian kita," katanya.
    
Sulong memperoleh ijazah Sarjana Undang-Undang dalam Mercantile Law di  University of Southampton pada 1977 dengan bantuan isteri beliau dari segi pembiayaan.
    
"Saya berterima kasih kepada isteri saya yang membantu saya membuat Master. Beliau bekerja dan saya sedang belajar. Beliau sanggup berkorban untuk saya," katanya.
    
Sulong berkhidmat dengan kerajaan negeri Sarawak dalam pelbagai jawatan termasuk Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak dari 1979 hingga 1980 dan Pengurus Besar Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu dari 1980 hingga 1983.
    
Beliau meninggalkan perkhidmatan awam ada 1983 dan menubuhkan firma guaman sendiri Messrs Sulong Matjeraie & Co di Kuching pada tahun yang sama.
    
Mengenai masa depannya setelah bersara, beliau berkata beliau akan berehat terlebih dahulu sebelum menentukan apa yang bakal dilakukannya.
    
"Saya akan berehat dahulu sebelum mula melakukan perkara lain. Sebenarnya  saya tidak mempunyai rancangan masa depan. Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah berehat. Ia merupakan perjalanan yang panjang.
    
"Ia merupakan 49 tahun bekerja," katanya.
    
Pendapatnya mengenai kehakiman Malaysia: "Mereka melakukan kerja yang baik. Saya pasti kehakiman di Malaysia tiada tandingannya di masa depan. Mereka di
sini sangat berdedikasi".
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.