PKR mahu Noh perjelas projek usahawan di Tg Karang

PKR menggesa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan mengenai Skim Projek Pembangunan Usahawan di Tanjung Karang yang didakwanya menyebabkan kerugian besar kepada peserta di kawasan tersebut.

Biro Kepenggunaan PKR Yahya Sahri mendakwa peserta berkenaan melaburkan sebanyak RM408,000 sejak dua tahun lalu, namun gagal mendapat pulangan daripada projek yang didakwanya di bawah seliaan kementerian tersebut.

Beliau mendakwa, peserta berkenaan menyertai skim tersebut dengan pinjaman yang dikeluarkan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Tekun Nasional (Tekun), Bank Rakyat dan Agro Bank.

Namun, dakwanya, peserta berkenaan kini dikenakan tindakan undang-undang oleh agensi kewangan terbabit kerana syarikat yang mengendali projek tersebut didakwa tidak melunaskan bayaran ansuran pinjaman seperti yang dijanjikan.

"Akaun pinjaman telah tertunggak lebih setahun dan tuntutan saman berjumlah purata RM17,000 untuk seorang peserta.

"Peserta telah beberapa kali cuba menemui pihak pengurusan (syarikat) serta menghubunginya tetapi talian telefon sudah tidak aktif," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Katanya, projek di Tanjung Karang itu melibatkan 34 pelabur dalam projek tanaman nenas dan 100 orang lagi yang melabur dalam projek ternakan lintah.

Dalam sidang media yang turut dihadiri beberapa peserta berkenaan, Yahya berkata mereka turut menuntut agar pihak berkuasa bertindak ke atas agensi kerajaan terlibat.

Menurutnya, bironya dapat merasai keperitan peserta yang terpaksa menanggung susah kerana terpaksa menanggung hutang yang tidak sepatutnya.

"Kami bagi pihak peserta yang terlibat dalam skim ala skim cepat kaya ini, menuntut agar semua agensi yang memberikan pinjaman melupuskan hutang peserta serta membersihkan nama mereka daripada senarai hitam dengan pihak Bank Negara," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.