Gerakan bimbang dengan cadangan Mahathir

Timbalan presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn bimbang cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad suruhanjaya siasatan diraja menyiasat pemberian kerakyatan sebelum merdeka akan "mewujudkan syak" di antara kaum.

Chang yang terkejut dengan kenyataan itu berkata, cadangan Mahathir itu tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang negarawan.

"Semua orang tahu pemberian kewarganegaraan itu dipersetujui oleh nenek moyang kita. Kenyataan demikian daripada seorang negarawan kanan yang berusia seperti beliau amatlah dikesali," kata Chang.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir pada 17 Januari lalu yang mendakwa bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melakukan perkara "lebih teruk" dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

Dalam kenyataannya, Mahathir mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing semasa pentadbirannya namun mendakwa tindakan berkenaan dijalankan mengikut undang-undang.

Menurut Chang, kenyataan Mahathir itu "tidak membawa sebarang manfaat, menjejaskan perpaduan, dan mewujudkan syak wasangka serta sikap tidak percaya antara rakyat Malaysia".

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar semua pihak berhenti mengeluarkan sebarang ulasan terhadap perjalanan RCI di Sabah yang kini sedang berlangsung.

Chang secara khususnya menegur Majlis Peguam yang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak segera susulan pendedahan dalam RCI itu.

"Kita perlu tunggu agar bukti lengkap diajukan sebelum kita membuat penilaian. Malah, kami juga terkejut dengan kenyataan Majlis Peguam berkenaan siasatan itu.

"Sebagai peguam, mereka sepatutnya tahu bahawa seseorang itu hanya boleh membuat kesimpulan berdasarkan bukti penuh," katanya.

SPR dipersalahkan Majlis Peguam kerana masih belum bertindak terhadap krisis undang-undang dalam pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Likas lebih sepuluh tahun lalu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.