Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anggota polis akui tak catat tindakan rakan pukul Kugan

Seorang anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek tahanan polis, A Kugan hari ini mengakui bahawa beliau tersilap kerana tidak mencatat tindakan Konstabel V Navindran memukul Kugan.

Lans Koperal Mohd Haizan Hamid, 29, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau melihat Navindran memukul Kugan pada 16 Jan 2009.

Mohd Haizan ketika dalam pemeriksaan semula oleh Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berkata perlakuan Navindran itu tidak dicatat di dalam buku 'perharian balai' kerana Kugan menyatakan dia berada dalam keadaan baik selepas kejadian itu.

"Saya tidak catit perkara itu (Navindran memukul Kugan) di dalam perharian balai kerana saya telah bertanya Kugan tentang keadaannya dan dia kata dalam keadaan baik tetapi tidak jangka ia akan berlaku sedemikian (kematian). Kesilapan saya kerana tidak catit," katanya.

Mohd Haizan yang memberi keterangan pada prosiding kes saman kecuaian yang difailkan ibu Kugan, N Indra turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak memberitahu pegawai atasannya mengenai keadaan itu sehinggalah dipanggil memberi keterangan oleh pegawai penyiasat.

Mohd Haizan turut memberitahu bahawa tiada sebarang maklumat disembunyikan dan ketika berjumpa Kugan, tiada kesan lebam kelihatan, kecuali pada pergelangan tangan kerana penggunaan gari.

Ketika ditanya Azizan kenapa beliau membenarkan Navindran masuk menemui Kugan, Mohd Haizan berkata: "Bilik itu (di Balai Polis Taipan) tidak dikunci dan saya serta Konstabel K James berada di dalam bilik tersebut. Saya jangka Navindran menggantikan syif saya. Saya tidak tahu.'

Mengikut pernyataan saksi, Mohd Haizan berkata selepas mendengar jeritan Kugan, beliau dan James masuk ke dalam bilik untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya Kugan telah dipukul menggunakan sesuatu tetapi Kugan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia berulang kali menyatakan bahawa dia tidak apa-apa serta tidak memerlukan rawatan.

"Kami (Mohd Haizan dan James) telah membenarkan Kugan baring atas tilam dan tangan kanan bergari dan digarikan dikerusi. Kami berada di dalam bilik sehinggalah pengganti kami tiba," katanya.

Mohd Haizan berkata selain Navindran, tiada orang lain yang masuk ke bilik berkenaan dan beliau tidak pernah didakwa bersubahat dengan Navindran.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam RL Bani Prakash, yang mewakili plaintif, Mohd Haizan menafikan dakwaan bahawa catatan di dalam 'perharian balai' adalah tidak benar.

Pada 13 Jan tahun lepas, Indra, 45, selaku pentadbir harta pusaka Kugan, memfailkan saman dan menamakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (ketika itu Ketua Polis Selangor), Navindran, ACP Zainal Rashid, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Indra mendakwa semua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya ketika dalam tahanan polis. Kugan ketika itu berusia 23 tahun.

Navindran dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 11 Jun tahun lepas kerana mencederakan Kugan.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk VT Singham disambung 28 Februari untuk pengurusan kes selepas pihak defendan menutup kes.

-Bernama

ADS