KSN: K'jaan umum 'gaji mati' Februari

Kerajaan dijangka mengumumkan penetapan gaji dua hingga lima peratus bagi penjawat awam yang sudah mencapai tahap gaji maksimum atau ‘gaji mati’ pada Februari ini, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat kajian teliti bagi menangani masalah penjawat awam yang berprestasi baik dan cemerlang dengan markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan.

"Saya tidak mahu melihat penjawat awam yang menjalankan tugas dengan cemerlang tetapi mendapat gaji statik. Ini yang saya mahu atasi.

“JPA sedang memuktamadkan senarai yang ada. Mereka sedang meneliti rekod perkhidmatan. Selalunya akan ada kenaikan biasa gaji, tetapi dalam kes ini kita mahu selesaikan kes mereka yang sudah mencapai tahap statik.

“Kami perlu berbincang dengan Perbendaharaan mengenai implikasi kewangan. Kerajaan amat positif mengenainya. Mereka faham gaji statik bukannya jawapan kepada penjawat awam yang berprestasi cemerlang," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu, Ali menyampaikan Amanat 2013 kepada kira-kira 4,000 penjawat awam pelbagai kementerian dan jabatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis yang dilaksanakan menerusi ‘live-streaming’ itu turut boleh disaksikan penjawat awam di seluruh negara.

Dalam amanatnya, Ali menyarankan penjawat awam memainkan peranan dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau berkata sektor domestik dan luar negeri adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2020.

“Semua penjawat awam, baik di dalam mahupun di luar negara, perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahan dan mempromosi kepentingan Malaysia.

“Kita juga perlu sentiasa mengintai atau mencari peluang-peluang baharu dalam mempromosi imej negara, selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baharu untuk negara,” katanya.

Selain itu, Ali juga menyarankan penjawat awam agar lebih peka dan responsif dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 telah mengumumkan 111 perkara melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama di semua peringkat, tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, diharapkan dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut agar matlamatnya tercapai dengan jayanya.

“Sebagai penjawat awam yang prihatin dengan wawasan kerajaan, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk memudahkan dan bukan menyusahkan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Ali melancarkan buku bertajuk 'Pengamalan Budaya Ketepatan Dalam Gagasan 1Malaysia:Transformasi Ke Arah Pembentukan Negara Maju' dan buku kecil Gagasan 1Malaysia dalam lima bahasa.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.