Polis: Injil yang dirampas tiada kalimah Allah

Polis Pulau Pinang merekod 17 kenyataan dari pelbagai individu dalam siasatan mereka ke atas dakwaan bahawa Bible diedarkan kepada kanak-kanak Islam di sebuah sekolah di Jelutong.

Ketua polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam satu kenyataan pada malam tadi menyebut, kertas siasatan telah dikemukakan kepada timbalan pendakwaraya negeri dan pasukannya turut menerima arahan lanjut bagi menyiapkan siasatan.

Abdul Rahim berkata Bible tersebut diedarkan secara terbuka dan beberapa pelajar Melayu diberikan kitab tersebut oleh individu yang tidak dikenali.

Katanya, polis menerima laporan pada jam 1.30 petang pada 17 Januari dari seorang individu Melayu yang mendakwa diberitahu oleh seorang lelaki lain berhubung dakwaan pengedaran kitab berkenaan di luar SMK Jelutong, Lorong Sekolah.

Katanya lagi, pengadu berkenaan kemudiannya mengunjungi tempat kejadian dan mendapati dakwaan itu benar.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, polis mendapat tiga lelaki dan seorang wanita yang tiba dengan satu kenderaan didapati mengedarkan kitab itu secara rawak kepada pelajar selepas sesi pagi persekolahan berakhir, katanya.

Pengadu berkenaan yang menerima senaskhah kitab tersebut daripada seorang pelajar, kemudiannya membuat laporan di balai polis Jelutong, katanya.

Abdul Rahim berkata kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 298A berhubung kesalahan "menyebabkan perselisihan, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian, kecurigaan atau prejudis".

Tambahnya, sebanyak lima Bible bersaiz poket setebal 633 halaman berwarna biru telah diserahkan kepada polis.

Katanya, kesemua Bible yang dirampas itu dalam bahasa Inggeris dan tidak mengandungi kalimah Allah.

Ia bukan terjemahan dalam bahasa Melayu dan juga bukan dalam tulisan Jawi, tegasnya.

Presiden NGO pro-Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali pada Ahad lalu mencetus kontroversi ekoran gesaannya supaya membakar Bible dalam bahasa Melayu atau dalam tulisan Jawi yang menggunakan kalimah Allah.

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.