Seorang rakyat kita disahkan terbunuh di Algeria

Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang semasa kejadian tebusan di In Amenas, Algeria disahkan terbunuh oleh Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, manakala nasib seorang lagi masih belum diketahui.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keluarga mangsa yang terbunuh, Chong Chung Ngen, telah dimaklumkan mengenai berita tersebut manakala kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat JGC Construction Pte Ltd, untuk menguruskan proses membawa pulang mayat ke Malaysia.

"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mendiang," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan tebusan asing yang terbunuh semasa kejadian tersebut telah dibawa ke Algiers.

Mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang masih hilang, Tan Ping Wee, Anifah berkata kementerian menghantar seorang diplomat kanan untuk membantu kedutaan di sana bagi mempercepatkan usaha mencari, serta memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria berjalan lancar.

Beliau berkata pada masa sama kementerian dan kedutaan telah pun membuat jalinan hubungan dengan negara-negara di mana rakyat mereka terlibat dalam kejadian tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini dan berkongsi maklumat risikan.

Dalam perkembangan lain Anifah berkata tiga rakyat Malaysia yang disahkan selamat kini berada di Algiers.

Persediaan telah diatur kedutaan untuk membawa pulang Ravi Kappusamy dan Lau Seek Chiang manakala Patrick Purait Awang secara sukarela mahu berada di Algiers untuk sementara waktu bagi membantu mengenal pasti rakannya, kata beliau.

Dalam insiden yang berlaku minggu lepas, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, timur Algeria menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak Islam di Mali.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.