MB: Rampas tanah Tg Karang sebab tak bayar premium

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata kerajaan negeri merampas tanah bagi Skim Projek Pembangunan Usahawan di Tanjung Karang kerana tiada bayaran premium dibuat untuk tanah berkenaan.

"Ini kerana tanah itu tiada hak milik dan pembayaran untuk premium tidak dibayar," katanya yang turut berjanji untuk membantu peserta dalam skim berkenaan.

Beliau ditanya mengenai perkembangan kes tersebut hari ini memandangkan isu berkenaan dibangkitkan semula oleh biro pengguna PKR Yahya Sahri semalam.

Kenyataan itu juga bagi mengulas dakwaan menteri pertanian Datuk Seri Noh Omar yang menyalahkan kerajaan negeri atas kegagalan projek di Tanjung Karang itu.

Noh yang juga MP Tanjung Karang dalam kenyataannya pada April tahun lalu berjanji untuk membela nasib seramai 30 orang peserta yang terjejas – dengan syarat kerajaan negeri memulangkan kembali tanah itu.

Dalam video yang dimuatkan di blog nohomar.net itu, timbalan ketua Umno Selangor berkenaan turut menyebut bahawa Umno tidak mendapat tanah secara percuma.

"Ini tanah kita bayar premium. Kita nak bangun dia tak bagi, tanah Umno cukai kerajaan. Kita nak bangunkan bangunan Umno sampai sekarang tak lulus juga pelan," katanya.

Yahya Sahri semalam mendakwa peserta berkenaan melaburkan sebanyak RM408,000 sejak dua tahun lalu, namun gagal mendapat pulangan daripada projek yang didakwanya di bawah seliaan kementerian pertanian.

Yahya membangkitkan semula perkara itu memandangkan peserta berkenaan kini dikenakan tindakan undang-undang oleh agensi kewangan.

Yahya mendakwa syarikat yang mengendali projek tersebut didakwa tidak melunaskan bayaran ansuran pinjaman seperti yang dijanjikan.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.