S'gor akan buat rayuan ketepi saman ibu tunggal

Kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan saman yang difailkan 2,020 ibu tunggal di negeri itu.

Abdul Khalid berkata tindakan itu dibuat berikutan beberapa faktor teknikal termasuk permohonan yang dibuat oleh kumpulan ibu tunggal berkenaan disifatkan tidak sah.

"Kita dapati ada ibu tunggal yang tidak lagi menetap di kediaman mereka di sini (Selangor)...isu itu tidak selesaikan masalah sebab mereka ini tidak lagi berkaitan dengan kita.

"Ada juga dalam rekod kita, ibu tunggal ini tidak mempunyai alamat kediaman yang betul, sebab itu kita tolak sebab kita mahu menyiasat dan kumpul maklumat yang betul-betul sahih bagi menentukan mereka ini layak atau tidak (mendapat elaun ibu tunggal)," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besarnya untuk mengetepikan saman tersebut.

Saman itu adalah berhubung kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji memberi elaun kepada semua ibu tunggal di Selangor seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 22 Nov tahun lepas, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor Murtini Kasman mewakili seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan tuntutan bagi menuntut tunggakan berjumlah RM10.9 juta.

Mereka menamakan kerajaan negeri yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama serta Abdul Khalid Ibrahim selaku ketua eksekutif kerajaan negeri sebagai defendan kedua.

Mengulas mengenai isu air, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mempertahankan pendirian mereka untuk mengambil alih perkhidmatan industri air daripada syarikat konsesi air di Selangor.

Berikutan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan Pembekuan Perbelanjaan Modal (Capex) yang didakwa mereka untuk menjaga kebajikan rakyat di tiga kawasan itu.

"Kita akan bekukan Capex, kecuali untuk kerja-kerja kecemasan bersandarkan pada satu matlamat iaitu menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," tambahnya.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.