PAS sedia letak calon bukan Islam dalam PRU13

PAS sedia meletakkan calon dari kalangan bukan Islam mewakili parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata calon bukan Islam akan dipilih dalam kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang juga merupakan sayap parti itu.
    
DHPP didakwa mempunyai keahlian seramai 35,000 orang di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Tuan Ibrahim berkata Majlis Syura telah membenarkan bukan Islam bertanding atas tiket parti itu.
    
"Ini kali pertama dalam sejarah kita calonkan DHPP. Kerusi itu (yang mereka tandingi) memang kerusi PAS maka mereka akan bertanding atas lambang parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Markas PAS Kuala Ibai, di Kuala Terengganu semalam.

Dalam PRU-12 pada 2008, PAS Johor meletakkan calon wanita bukan Islam, Kumutha Raman, pemegang ijazah undang-undang dari Britain, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Bahru.
    
Bagaimanapun, calon berkenaan tewas kepada Maulizan Bujang dari Barisan Nasional (BN).

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.