Khaled: Saya akan jumpa dan pujuk mereka

Ahli Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan pertemuan secara "senyap" dengan  pemimpin akar umbi bagi menyelesaikan masalah bilik gerakan yang ditutup dengan alasan kecewa dengan tindakan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Mohamed Khaled yang juga menteri pengajian tinggi berkata, pertemuan yang akan diadakan pada bila-bila masa itu bagi memujuk ahli Umno yang kecewa dengan Abdul Ghani kerana gagal menunaikan janji pemberian hak milik tanah kepada penduduk setinggan.

"Saya dah beritahu, saya percaya ini adalah satu kekecewaan yang mereka hadapi dan rasai kerana masih lagi belum mendapat hasil daripada permintaan mereka untuk dapat hak milik tanah.

"Sebagai wakil rakyat dan ketua Umno bahagian saya akan berjumpa dan memujuk mereka. Tiap-tiap minggu saya balik saya akan jumpalah. Saya akan jumpa senyap-senyap. Kalau jumpa depan surat khabar nanti semua tak jadi.

"Sebagai ketua, ahli parlimen, saya mesti beri perhatian soal itu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara di Universiti Malaya hari ini.

Khamis lalu Sinar Harian Online melaporkan, sebahagian besar bilik gerakan Umno cawangan di Pasir Gudang ditutup tanpa sebarang aktiviti persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Dalam laporan berkenaan, Pengerui Tetap Umno bahagian  Abu Bakar Alibi mendakwa lima bilik gerakan ditutup dan empat lagi dijangka mengambil tindakan sama menjelang pilihan raya.

Abu Bakar dalam laporan itu juga menegaskan, Umno cawangan berkenaan tidak akan menjalankan aktiviti untuk menghadapi pilihan raya dan tidak akan bertanggungjawab sekiranya tindakan pengundi menjejaskan BN.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula pada Khamis lalu berkata tindakan tegas akan diambil terhadap ahli yang melakukan sabotaj terhadap parti dalam PRU akan datang.

Sementara itu, ketika ditanya pada sidang media sama berhubung sokongan BN di Pasir Gudang berikutan kecenderungan pengundi di kawasan itu hadir ke ceramah anjuran Pakatan Rakyat, Khaled menjawab: "Ceramah itu mungkin satu bentuk hiburan nak dengar orang luar datang."

1. Umno beri amaran pada jentera Pasir Gudang

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.