JASA: BN mampu menang dua pertiga dalam PRU13

Barisan Nasional (BN) berkeupayaan memperoleh kemenangan dua pertiga di dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan.
    
Beliau berkata untuk kemenangan dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"Insya-Allah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," katanya.
    
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta yang menghadiri majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, di Johor Bahru hari ini.
    
Fuad melahirkan keyakinannya bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor terhadap BN akan melebihi tahap 65 peratus dan mencecah sehingga 80 peratus dan lebih.

Katanya, sokongan pengundi masyarakat India terhadap BN juga telah pulih daripada kejatuhan dalam pilihan raya umum 2008, selain berkeyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN kali ini.

Menurut Fuad, banyak daripada isu yang dimainkan pembangkang seperti pembelian kapal selam Scorpene, loji nadir bumi Lynas dan lain-lain telah "diselesaikan", menyebabkan pembangkang kini tercari-cari isu baru.
    
Katanya, usaha pembangkang untuk mengumpul sejuta orang pada perhimpunan di Stadium Merdeka 12 Jan lepas, gagal kerana perhimpunan itu itu hanya dihadiri kira-kira 50,000 orang.
    
Beliau berkata, pembangkang menolak tawaran kerajaan supaya himpunan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih besar kerana menyedari ketidakmampuan mereka untuk menarik peserta yang ramai ke perhimpunan terbabit.
 
Sementara itu, beliau berkata jentera media sosial BN meliputi Twitter, Facebook dan lain-lain medium kini lebih bersedia dan berkemampuan untuk menangani serangan daripada pembangkang berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, Fuad meminta media sosial BN meneruskan usaha mereka dengan mendekati kira-kira 2.8 juta pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU-13 ini.
    
Pengundi muda terbabit katanya, tidak lagi bergantung kepada media lama seperti suratkhabar dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, tetapi bergantung sepenuhnya kepada internet dan media sosial seperti Facebook dan Twitter.

-  Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.