Lelaki disyaki ahli sindiket curi kereta mewah ditahan

Ipoh Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun berasal dari Cheras, Kuala Lumpur yang dipercayai anggota sindiket mencuri kenderaan mewah selain merampas sepucuk pistol buatan Israel dalam Ops Limau awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dalam operasi itu polis turut merampas dua buah kereta jenis BMW masing-masing berwarna kelabu dan biru serta sebuah kereta Honda CRZ yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Polis Ibu Pejabat Daerah Manjung mengesan tiga kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa tugasan pencegahan jenayah di bandar Sitiawan.

Pasukan itu menahan satu daripada tiga kereta terbabit iaitu sebuah BMW berwarna kelabu di sebuah stesen minyak dan menahan pemandunya," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Beliau berkata sementara dua buah kereta lagi iaitu BMW berwarna biru dan Honda CRZ berjaya memecut ke arah kawasan Pantai Remis sebelum kereta BMW terbabit terbabas  di persimpangan Kuari Tin, Sungai Batu, Rungkup dan melanggar sebuah rumah.

Sejurus selepas itu polis mendapati kereta Honda CRZ berwarnah merah itu telah ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Gereja, Pantai Remis, katanya.

"Dua lelaki yang masing-masing memandu BMW berwarna biru dan Honda CRZ itu berjaya meloloskan diri manakala semakan kita mendapati lelaki yang ditahan polis itu  mempunyai 12 rekod jenayah lampau," katanya.

Mohd Shukri berkata semakan polis juga mendapati ketiga-tiga kereta berkenaan masing-masing dilaporkan hilang di Selangor iaitu Kota Damansara, Kelana Jaya dan Kepong dan ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya polis menemui sepucuk pistol semi auto berwarna hitam jenis Uzi buatan Israel dan satu kelopak mengandungi 10 butir peluru hidup bersaiz 9mm jenama Thai Arms semasa pemeriksaan di dalam kereta BMW berwarna biru yang terbabas tersebut.

Beliau berkata turut dijumpai adalah satu beg komputer yang mengandungi sebilah parang bertulisan Thailand sepanjang 36 sentimeter, sebilah pisau, dua topeng muka serta sebilah kapak.

"Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rakan suspek yang melarikan diri itu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang  membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.