Stephen Rundi: TPM puas hati persediaan BN S'wak

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dan yakin dengan persediaan jentera pilihan raya parti komponen BN di negeri ini, kata Setiausaha BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata keyakinan tersebut dizahirkan Muhyiddin, yang juga timbalan perdana menteri, selepas mendengar taklimat tertutup lebih dua jam dengan pemimpin BN negeri, di Kuching, semalam.

"Dalam taklimat tadi semua parti komponen senada menyatakan telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa sahaja.

"Semua parti telah memberikan angka-angka dan statistik yang diperlukan, kita yakin boleh menang dengan begitu baik dalam pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita selepas taklimat tertutup itu.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, tiba di sini semalam untuk lawatan kerja tiga hari ke negeri itu.

Mengulas mengenai senarai akhir calon, Rundi berkata perkara tersebut tidak dibincangkan sebaliknya lebih tertumpu kepada kesiapsiagaan BN negeri bagi menghadapi PRU ke-13.

Sementara itu, Pengerusi BN Sarawak merangkap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud turut menyuarakan keyakinan bahawa BN akan memperolehi majoriti mudah dua pertiga pada PRU nanti.

"Secara umumnya, saya yakin akan ada hasil yang baik pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dengan parti komponen BN menyandang 29 kerusi manakala dua oleh parti DAP.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.