Ibu bapa William tuntut mayat di hospital

Ibu bapa William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak berusia enam tahun yang ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 24 Jan lalu, menuntut mayat anak mereka di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang hari ini.

Pasangan Yau Kok Kang, 32 dan Goh Ying Ying, 26, kelihatan tenang ketika tiba di HTAR pada pukul 10.20 pagi, namun Goh dilihat menangis tanpa henti ketika mayat kanak-kanak itu dibawa keluar sejam kemudian.

Ketika meninggalkan bilik mayat, Goh yang berblaus hitam dan berseluar pendek dan dipeluk suaminya, turut dilihat memeluk erat anak patung tertulis nama William selain membawa sebatang colok.

Difahamkan pasangan itu yang tiba di hospital menaiki kenderaan pacuan empat roda akan membawa mayat anak mereka ke Jelutong Crematorium, Melaka bagi satu upacara keagamaan.

Sebelum itu, pasangan berkenaan juga dikatakan telah ke lokasi mayat William ditemui di Jeti Sungai Sireh dan menjalankan satu upacara keagamaan di situ.

Terdahulu pada sidang media di Petaling Jaya, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli memberitahu laporan awal ujian 'deoxyribonucleic acid' (DNA) oleh Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki itu adalah William.

Katanya laporan penuh bedah siasat yang dilakukan 25 Januari lepas dijangka keluar tiga minggu lagi.

Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapat komen daripada pasangan berkenaan gagal dan difahamkan mereka akan mengadakan sidang media selepas laporan penuh bedah siasat ke atas William diketahui.

William, anak kedua pasangan itu dilapor hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Susulan insiden itu, pada 24 Januari lepas, mayat seorang kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian ditemui seorang nelayan pada 6.30 petang, sebelum dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.

Di MELAKA, mayat William tiba di Taman Peringatan Melaka pada pukul 12.55 tengah hari untuk disemadikan.

Sejurus tiba dari HTAR, Klang, satu upacara keagamaan diadakan sebelum mayat kanak-kanak itu dibakar bermula pukul 2 petang.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang hadir bagi mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM5,000 untuk pengurusan pengebumian.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Rumput Datuk Tahir Hassan.

Dalam pada itu, nenek kanak-kanak malang berkenaan, Chee Chou Moi, 68, tidak dapat menahan sebak kerana gagal menatap wajah cucunya buat kali terakhir.

"Selepas berita mengenai cucu saya hilang, saya tidak tidur, hati saya juga tidak tenang memikirkan cucu saya tetapi mereka (ibu bapa William) seolah-olah tidak mahu saya tengok cucu saya buat kali terakhir," katanya yang mendakwa hanya mengetahui mengenai upacara persemadian itu daripada pihak media.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.