Nasha kata PAS belum beritahu lucut jawatan

Bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata beliau masih belum menerima makluman rasmi daripada parti berhubung keputusan Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu yang menggugurkan jawatannya dalam badan tertinggi parti tersebut.

nik aziz nasharuddin mat isa 170609Menurut laporan Bernama petang ini, Nasharudin berkata beliau hanya mengetahui mengenai pelucutan jawatan tersebut melalui laporan media.

"Cuma setakat ini saya hanya tahu tentang pemecatan tersebut melalui media dan tidak melalui saluran rasmi parti," katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.

Laporan semalam bagaimanapun menyebut, surat perlucutan jawatan berkenaan telahpun dihantar kepada MP Bachok itu, selepas mesyuarat berkenaan.

Setiausaha Majlis Syura Ulama itu, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh semalam dilaporkan berkata, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Mursyidul Am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Antara sebab keputusan itu diambil kerana beliau (Nasharudin) telah melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan parti. Antaranya tidak hadir mesyuarat...," kata Nik Zawawi dalam laporan semalam.

NONEDifahamkan Nasharuddin bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.
 
Laporan Bernama juga menyebut, Nasharuddin tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan terus bersama PAS atau meninggalkan parti tersebut.

"Berorganisasi hanyalah wadah tetapi berpegang pada prinsip adalah satu tuntutan dan saya akan terus berikan sumbangan terbaik kepada mana-mana pihak yang ingin mendaulatkan Islam," katanya seperti dilapor Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.