Anifah: Negara bankrap jika bayar royalti 20 peratus

Rakyat di Sabah jangan cepat berputus asa jika permintaan mereka tidak terlaksana di bawah pentadbiran BN, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat di negeri ini perlu menyuarakan permintaan mereka agar kerajaan tahu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Tidak ada pemimpin di negara ini yang tidak membantu rakyat. Kita tidak sama dengan negara lain kerana kita menjaga rakyat sama ada diminta atau tidak," katanya pada majlis malam mesra bersama pengundi luar kawasan Parlimen Kimanis di Kota Kinabalu malam tadi.

Anifah, yang juga anggota Parlimen Kimanis meminta rakyat di Sabah supaya jangan mendengar hasutan dan janji kosong pembangkang.

Katanya apa yang dirancang pembangkang, termasuk 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan, tidak mampu menjadi kenyataan dan boleh membankrapkan negara.

Bagaimanapun, beliau kesal terdapat rakyat, khususnya di luar bandar, yang percaya dengan kata-kata pembangkang.

"Sekarang kita dapat lima peratus royalti minyak. Tetapi bila dicampurkan dengan pelbagai bantuan yang kerajaan beri sudah melebihi 20 peratus yang diharapkan," jelasnya.

Pada majlis itu, Anifah mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk membantu rakyat di Kimanis dari aspek kesihatan.

Beliau turut mengumumkan RM50,000 lagi untuk membantu persekolahan anak-anak pengundi luar yang mengundi di Kimanis tetapi tinggal di luar daerah itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.